Home DiskusiKetahanan udara Jepun: Bagaimana F 2B dipulihkan selepas musnah dalam tsunami 2011

Ketahanan udara Jepun: Bagaimana F 2B dipulihkan selepas musnah dalam tsunami 2011

by Aqilah Azman
A+A-
Reset

Gempa bumi atau tsunami, mendengarnya sahaja sudah cukup menggerunkan apatah lagi jika terpaksa menghadapinya tanpa sebarang persediaan. Bencana alam besar sentiasa datang tanpa amaran dan dalam sekelip mata mampu memusnahkan infrastruktur serta meragut ribuan nyawa.

Malaysia jarang berdepan risiko bencana besar sedemikian kerana kedudukannya di luar kawasan geologi berbahaya. Negara ini sering menerima gegaran kecil dari Indonesia, namun pantai barat Sumatera dan kedalaman laut yang sederhana menjadi benteng semula jadi yang mengurangkan ancaman tsunami besar.

Berbeza dengan Malaysia, negara seperti Jepun, Indonesia dan Filipina pula berada di kawasan pertembungan plat bumi. Keadaan itu menyebabkan negara ini lebih terdedah kepada gempa bumi, letusan gunung berapi dan tsunami.

Bagi Malaysia, Indonesia dan Filipina bertindak sebagai penampan yang menyerap sebahagian besar tenaga gelombang sebelum mencecah Semenanjung.

Walau bagaimanapun, kedudukan Jepun di Lingkaran Api Pasifik menjadikan negara itu sentiasa berhadapan risiko bencana yang sukar diramal.

Tsunami: Impaknya terhadap keupayaan udara Jepun

Gambaran kemusnahan di Pangkalan Udara Matsushima. Foto: Matsushima Air Base

Pada tahun 2011, Jepun dikejutkan dengan salah satu bencana paling dahsyat dalam sejarah moden apabila gempa bumi dengan skala 9.0 magnitud melanda kawasan pesisir Pasifik. Gegaran berlaruran selama enm minit dan mencetuskan tsunami setinggi lebih 10 meter yang melanda daratan dalam masa kurang satu jam.

Bencana ini meragut hampir 20,000 nyawa serta memaksa pemindahan puluhan ribu penduduk. Tsunami tersebut bukan sekadar menghanyutkan bandar dan memusnahkan infrastruktur awam, malah turut menjejaskan keupayaan pertahanan Jepun.

Antara kerosakan terbesar berlaku di Pangkalan Udara Matsushima apabila 18 daripada 31 pesawat F 2B mengalami kerosakan teruk. Kesemua pesawat tersebut dilaporkan terbenam dalam lumpur, dihentam serpihan dan tenggelam akibat limpahan air selepas tsunami melanda kawasan pantai wilayah Miyagi.

Kemusnahan tersebut menguji ketahanan organisasi pertahanan Jepun kerana bencana berlaku serentak dengan kerosakan besar pada loji nuklear Fukushima Daiichi. Dinding pelindung yang dibina bertahun sebelumnya gagal menahan kekuatan gelombang dan menyebabkan sistem pertahanan loji nuklear sepenuhnya.

Pemulihan kompleks, memakan masa hampir sedekad

Kerja pemulihan bagi pesawat yang musnah, rosak akibat tsunami. Foto: U.S. Air Force

Keputusan kerajaan Jepun untuk memulihkan sebahagian besar pesawat F 2B dianggap langkah strategik yang mencerminkan kepentingan aset udara dalam keseluruhan rancangan pertahanan negara. Kerja pembaikan bermula pada Disember 2013 dan melibatkan 13 pesawat, manakala lima lagi didapati terlalu rosak untuk dibaiki secara ekonomi.

Mitsubishi Heavy Industries bersama beberapa syarikat pertahanan tempatan mengetuai operasi pemulihan. Proses itu melibatkan pembongkaran pesawat yang menyeluruh sehingga ke rangka asas, pemeriksaan setiap komponen kritikal dna pemasangan semula mengikut spesifikasi asal.

Bagaimanapun, kerja pemulihan berskala besar ini menuntut kepakaran mendalam dan perancangan industri yang teratur. Ia bukan semudah yang disangka, siap dalam anggaran masa yang singkat, tetapi memerlukan masa yang lama hampir sedekad dan menelan kos yang banyak.

Walaupun kosnya tinggi, keputusan tersebut mengekalkan keupayaan udara Jepun semasa negara berhadapan ancaman keselamatan daripada Korea Utara dan China. Keupayaan memulihkan aset yang rosak turut memastikan keseimbangan kuasa di Asia Timur tidak terjejas selepas bencana.

Nilai strategik ketahanan industri pertahanan Jepun

Sebahagian infrastruktur yang musnah dalam Tsunami. Foto: Japan Ministry of Defense

Usaha Jepun memulihkan pesawat F 2B bukan sekadar soal teknikal, ia menjadi bukti kemampuan negara tersebut mengekalkan keupayaan pertahanan dalam keadaan mencabar. Ketahanan sedemikian tidak bergantung kepada bilangan aset atau tahap teknologi sahaja, kerana ia juga lahir daripada ekosistem industri yang matang dan berdikari.

Autonomi industri tempatan membolehkan Jepun menyelenggara serta membaiki pesawat tanpa bergantung sepenuhnya kepada pembekal luar. Keupayaan ini penting dalam situasi bencana yang menjejaskan logistik, rangkaian bekalan dan hubungan antarabangsa.

Sekiranya Jepun terlalu bergantung kepada import, kerja pemulihan mungkin mengambil masa lebih lama atau melibatkan kos yang jauh lebih tinggi.

Implikasi dan pengajaran kepada negara Asia Tenggara

Pusaran air Tsunami yang melanda di Jepun pada tahun 2011. Foto: Quake Alerts

Negara seperti Malaysia, Indonesia, Filipina dan Thailand turut terdedah kepada bencana alam seperti banjir besar, gempa bumi, ribut taufan dan tsunami. Malaysia mempunyai pangkalan udara yang berhampiran kawasan mudah banjir. Keupayaan pemulihan industri tempatan pula masih bergantung kepada kerjasama luar.

Indonesia dan Filipina pula terletak di zon lingkaran api yang aktif tetapi ekosistem aeroangkasa tempatan mereka belum mencapai tahap keupayaan mendalam seperti Jepun. Manakala, Thailand mempunyai keupayaan penyelenggaraan yang lebih baik, namun masih bergantung kepada pembekal luar bagi komponen tertentu.

Keupayaan negara untuk menghadapi senario di mana beberapa pesawat pejuang rosak serentak akibat bencana menjadi persoalan yang wajar dipertimbangkan. Bencana alam tidak dapat dielakkan, tetapi kesannya terhadap keupayaan udara boleh diminimumkan melalui strategi pemulihan yang mantap, bersistematik oleh industri pertahanan tempatan.

Pengalaman Jepun menghidupkan semula aset udara selepas tsunami 2011 membuktikan ketahanan strategik, bukan sahaja bergantung kepada teknologi canggih. Ia juga bergantung kepada kemampuan bangkit selepas kejutan besar serta keupayaan industri tempatan yang dapat menyokong pemulihan dalam tempoh yang singkat.

Asia Tenggara perlu melihat pengajaran ini sebagai asas untuk membina ekosistem industri pertahanan yang lebih berdaya tahan demi memastikan aset kritikal negara dapat dipulihkan walaupun ketika bencana melanda. -airtimes.my

#Airtimes #Tsunami2011 #GempaBumi #Bencana #PesawatF2B #asetudara #MatsushimaAirBase #Jepun #AsiaTenggara

Related Articles

Leave a Reply