KUALA LUMPUR, 27 OGOS – Kerajaan memberi jaminan akan memperhebat usaha membendung penyebaran fahaman liberalisme dan pluralisme dalam kalangan umat Islam di Malaysia, susulan keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung pertubuhan Sisters in Islam (SIS).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara langkah segera yang diambil ialah, memperkukuh keputusan Mahkamah Syariah, memperkasakan Institusi Kehakiman Syariah, serta meningkatkan kerjasama dengan pihak Berkuasa Agama Negeri.
Menurut beliau, program Pendidikan undang-undang dan kesedaran masyarakat juga akan diperluas, termasuk mengukuhkan peranan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.
“Kes ini menjadi indikator penting bahawa sistem kehakiman Syariah mempunyai mekanisme tersendiri untuk menangani cabaran terhadap kedudukan fatwa dan institusi agama Islam,” katanya dalam jawapan lisan Dewan Rakyat.
Selain itu, Kerajaan turut membuat pemantauan penerbitan dan kandungan media digital, pewartaan fatwa dan perundangan, selain tindakan pengkuatkuasaan melalui Akta dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah oleh pihak berkuasa Agama Negeri dan Agensi Persekutuan.
Kerajaan turut menyelaraskan pelaksanaan melalui jawatankuasa yang diurus setia Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri dan Jabatan Mufti.
Dalam pada itu, JAKIM akan memperkukuh pendidikan Islam secara formal dan tidak formal, memperkemas undang-undang berkaitan, selain memperluas pendekatan melalui media sosial, masjid dan surau dengan melibatkan tenaga pegajar bertauliah.
“Kerajaan akan memastikan undang-undang Syariah yang dikuatkuasakan kekal relevan, tegas dan sesuai dengan tuntutan semasa umat Islam di Malaysia tanpa menggadaikan prinsip asas Syariah,” tambah Anwar.
Beliau berkata demikian, bagi menjawab pertanyaan dari Dr. Abd Ghani Ahmad [JERLUN], mengenai apakah langkah segera Kerajaan untuk menghapuskan fahaman liberalisme dan pluralisme di Malaysia, serta apakah tindakan terhadap ahli-ahli Sisters in Islam (SIS) yang terikat dengan fatwa, susulan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap SIS berkaitan fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri sebelum ini. -airtimes.my
#Airtimes #SIS #JAKIM #MahkamahSyariah #Malaysia
