KUALA LUMPUR, 23 Jul – Setiap warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas akan menerima RM100 secara one-off melalui MyKad di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan itu boleh dibelanjakan mulai 31 Ogos sehingga 31 Disember bagi membeli barangan asas di lebih 4,100 kedai termasuk pasar raya utama seperti Mydin, Lotus, Econsave dan 99Speedmart serta kedai-kedai runcit di semua daerah seluruh negara.
Menurutnya, bantuan itu diberikan secara individu dan bukannya isi rumah.
“Maknanya, sebuah isi rumah umpamanya suami, isteri dan dua orang anak dewasa akan dapat RM400,
“Ikhtiar ini dijangka memanfaatkan 22 juta rakyat melibatkan peruntukan RM2 bilion. Ini bermakna, jumlah peruntukan STR dan SARA meningkat daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion untuk 2025,
“Ini merupakan kali pertama dalam sejarah bantuan tunai disalurkan kepada semua rakyat dewasa,” katanya dalam Pengumuman Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia yang disiarkan secara langsung, hari ini.
Tambah beliau, kerajaan menyedari bahawa sebahagian rakyat mungkin tidak memerlukan bantuan ini. Oleh itu, sebarang baki bantuan yang tidak dibelanjakan menjelang akhir tahun akan dikumpulkan semula untuk diagihkan kepada golongan rentan pada tahun hadapan.-airtimes.my
#airtimes #Malaysia #DSAI #Anwar #Malaysia #SARA
