Home Pertahanan dan Keselamatan Mohamed Khaled tiba di Istanbul, mulakan lawatan kerja tiga hari

Mohamed Khaled tiba di Istanbul, mulakan lawatan kerja tiga hari

A+A-
Reset

ISTANBUL, 23 Julai – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memulakan lawatan rasmi selama tiga hari ke Republik Türkiye malam tadi bagi menghadiri International Defence Industry Fair (IDEF) 2025 yang kini memasuki edisi ke-17.

Beliau disambut oleh Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul, Ahmad Amiri Abu Bakar, serta pegawai pengiring dari Turkiye.

IDEF 2025 yang berlangsung di Istanbul merupakan salah satu pameran industri pertahanan terbesar dan paling berpengaruh di dunia, dianjurkan oleh Kementerian Pertahanan Nasional Türkiye dan dikendalikan oleh Turkish Armed Forces Foundation.

“IDEF 2025 merupakan platform penting bagi mempamerkan teknologi pertahanan terkini dan memperkukuh kerjasama antarabangsa,“ kata Mohamed Khaled.

Sepanjang berada di Türkiye, Menteri Pertahanan dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Pertahanan Nasional Türkiye, Yaşar Güler; Menteri Industri Pertahanan Azerbaijan, Vugar Mustafayev; serta Menteri Pertahanan Republik Sudan, Hassan Daoud Kayan bagi membincangkan kerjasama pertahanan serantau dan potensi kolaborasi teknologi ketenteraan.

Selain itu, beliau turut akan bertemu dengan Presiden Secretariat of Defence Industries (SSB) Türkiye, Prof. Dr. Haluk Görgün, tokoh utama dalam ekosistem pembangunan industri pertahanan Türkiye.

Selain itu, beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Turkiye dijangka ditandatangani semasa pameran tersebut.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled turut dijadualkan untuk meninjau kemajuan pembinaan Kapal Misi Pesisir (LMS) Batch Kedua untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sedang dibina oleh syarikat Savunma Teknolojileri Mühendislik (STM), sebuah firma kejuruteraan teknologi pertahanan Türkiye.

Pada Jun tahun lepas ketika lawatan kali pertama Mohamed Khaled ke Turkiye, Kementerian Pertahanan telah menyerahkan Surat Setuju Terima (LOA) pembelian tiga buah kapal berkenaan kepada STM.

Penyerahan LOA tersebut disempurnakan antara Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertahanan (MINDEF), Dr Mohd Bakhari Ismail dan Pengurus Besar STM, Ozgur Guleryuz, di ibu pejabat STM.

Menteri Pertahanan berkata, projek dibawah syarikat pertahanan Turkiye, itu akan mengambil masa kira-kira 3 tahun setengah untuk disiapkan.-airtimes.my

#pertahanan #airtimes #Malaysia #Turkiye

Leave a Reply