KUALA LUMPUR, 23 Jul – Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan beliau tidak memerlukan sebarang imuniti berhubung kes Pulau Batu Puteh, sebaliknya bersedia untuk diheret ke mahkamah.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau yakin tidak bersalah dalam keputusan yang dibuat semasa pentadbirannya pada 2018 dan mahu membuktikannya secara sah melalui proses perundangan.
Dalam nada menyindir, Tun Dr. Mahathir berkata, imuniti adalah untuk mereka yang takut untuk ke mahkamah kerana sedar dirinya bersalah.
“Saya tahu saya tak bersalah dan saya mahu buktikan,” katanya menerusi hantaran di laman sosialnya, hari ini.
Pada Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang Dewan Rakyat berkata, Kabinet memutuskan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang Dr. Mahathir berhubung isu Batu Puteh atas faktor usianya yang sudah lanjut.
Bagaimanapun, Anwar berkata, kerajaan berpendirian Dr. Mahathir tetap bersalah kerana keputusan beliau sebagai Perdana Menteri pada 2018 yang melepaskan Batu Puteh dengan begitu mudah kepada Singapura.
Dalam hantaran yang sama, Tun Mahathir turut menyindir Anwar yang disifatkan bukan sahaja seorang Perdana Menteri malah turut boleh menjadi pendakwa raya atau hakim.
“Yang hukum saya bersalah ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar. Yang umum saya tak perlu diambil tindakan ialah Datuk Seri Anwar,
“Ini bermakna Datuk Seri Anwar bukan sahaja PM, dia juga hakim dan juga pendakwaraya. Begitulah hebat kuasanya,
“Tetapi Perlembagaan tidak sebut Perdana Menteri boleh jadi pendakwaraya atau hakim,” ujar Tun Mahathir lagi.-airtimes.my
#airtimes #BatuPuteh #TunMahathir #Anwar #Malaysia
