IPOH, 23 Julai – Pasukan Gerakan Am (PGA) telah merampas barangan buangan elektrik dan elektronik (e-waste) bernilai RM31.3 juta dalam serbuan di sebuah kilang haram di Parit dekat Seri Iskandar.
Rampasan ini merupakan hasil daripada Operasi Bersepadu Intra/Op Hazard yang dijalankan oleh PGA bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak.
Operasi melibatkan Cawangan Risik/Task force dan Kompeni B Batalion 3 PGA serta Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Utara PGA Ulu Kinta.
Pelbagai peralatan dan kelengkapan di dalam kawasan kilang haram yang diperiksa disyaki menjalankan aktiviti pemprosesan e-waste secara haram
Penggeledahan menemui bongkah-bongkah e-Waste yang dimampatkan dan belum diproses.
Komander Briged Utara, SAC Shahrum Hashim berkata, kilang haram tersebut terletak kira-kira lima kilometer dari jalan utama di dalam ladang kelapa sawit.
Menurut beliau, terdapat sebuah lori treler di dalam kawasan kilang yang diperiksa mengandungi bongkah-bongkah mampat disyaki e-waste yang belum diproses.
“Antara rampasan ialah 81 bongkah disyaki e-waste dengan berat 105,300 kilogram (kg), arang batu (5,000kg), pelbagai peralatan pemprosesan e-waste, sebuah treler dan dua kenderaan pacuan empat roda.
“Nilai anggaran keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM 31,337,000 juta.
“Tiga lelaki tempatan berusia antara 36 hingga 70 tahun ditahan bagi membantu siasatan,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Bangunan yang digunakan untuk memproses e-waste berukuran lebih kurang 8,400 kaki persegi pula disiasat Pejabat Daerah dan Tanah Seri Iskandar Perak.
Bongkah-bongkah disyaki e-waste tersebut dirampas dan diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar Negeri Perak untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana menjalankan aktiviti ditetapkan tanpa lesen dan Seksyen 19 kerana membina bangunan bagi tujuan aktiviti itu tanpa kelulusan.
Siasatan turut dibuat mengikut Seksyen 34A kerana beroperasi tanpa kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), Seksyen 34B, Seksyen 6 Akta Peniaga Sekendhend 1946 dan Seksyen 127 Kanun Tanah Negara (Borang 7A Notis Untuk Memulih Pelanggaran Syarat Tanah).
Siasatan lanjut oleh Cawangan Risik Batalion 3 PGA masih dijalankan bagi mengesan individu atau sindiket yang menjalankan aktiviti pemprosesan tersebut.-airtimes.my
#keselamatan #PGA #PDRM #ewaste #airtimes #Malaysia
