OTTAWA, 29 MEI – Saab menyatakan kesediaannya untuk menawarkan sistem GlobalEye kepada Kanada dalam usaha memenuhi keperluan negara itu bagi program Kawalan dan Amaran Awal Bawaan Udara Kanada (AEW&C).
Pengumuman itu bertepatan dengan penyertaan Saab di pameran pertahanan (CANSEC 2025), di mana syarikat dari Sweden itu mempamerkan penyelesaian pengawasan udara pelbagai domain berteknologi tinggi yang dibina berasaskan pesawat buatan Kanada.
“GlobalEye ialah aset yang benar-benar strategik dengan penyelesaian berbilang domain yang menyampaikan peningkatan kesedaran situasi dan keupayaan tindak balas pantas merentas domain udara, maritim dan darat,” kata Anders Carp, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Saab.
Sehubungan itu, beliau menegaskan menerusi kerjasama erat dengan Bombardier, membolehkan Saab memaksimumkan kandungan domestik, mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi dan mengintegrasikan syarikat Kanada ke dalam rantaian bekalan global industri pertahanan.
Susulan, GlobalEye dibangunkan berasaskan pesawat Bombardier Global 6000/6500, sebuah platform berkeupayaan jarak jauh, ketahanan tinggi serta prestasi unggul di semua altitud.
“Dengan pesawat bertaraf dunia Bombardier dibuat di Kanada, dan kepakaran Saab yang terbukti dalam pembangunan radar dan teknologi pengawasan termaju, kami percaya GlobalEye mewakili peluang unik untuk memberikan keupayaan yang tiada tandingan sambil mengembangkan sektor aeroangkasa dan pertahanan Kanada.” ujarnya.
Justeru, cadangan Saab menggunakan platform terbukti ini bersama penderia serta sistem misi canggih terkini, adalah bagi menawarkan penyelesaian AEW&C yang berkeupayaan tinggi, kos efektif dan menyokong kedaulatan negara.
Saab sebelum ini telah membekalkan sistem AEW&C kepada North Atlantic Treaty Organization (NATO) serta beberapa negara rakan yang dipercayai, dan GlobalEye kini dalam fasa pengeluaran serta telah digunakan secara aktif oleh beberapa negara. -airtimes.my
#Airtimes #AEW&C #Saab #GlobalEye #Kanada
