Home DiskusiKARGU: Pemusnah tepat, strategi Turkiye menawan medan tempur

KARGU: Pemusnah tepat, strategi Turkiye menawan medan tempur

by Aqilah Azman
A+A-
Reset

Dalam era peperangan era moden, bukan sahaja melibatkan aset persenjataan yang besar dan hebat, bahkan senjata yang kecil dan senyap juga mampu membawa impak besar di medan tempur sehingga mampu memusnahkan sasaran yang berisiko.

STM Kargu (Kamikaze Autonomous Rotary Wing Attack Drone), dron kamikaze buatan Turkiye antara contoh ketara sebagai UAV serangan kebangsaan pertama di negara itu. Ia mula dibangunkan oleh syarikat pertahanan Turkiye, Savunma Teknolojileri Mühendislik ve Ticaret A.Ş. (STM), bagi memenuhi keperluan Angkatan Tentera Turkiye (TSK) dalam menghadapi ancaman asimetrik, seperti operasi anti-pengganas di Syria, Iraq, kawasan sempadan dan zon konflik.

‘Kargu’ yang bermaksud ‘menara pemerhatian gunung’ pada mulanya direka bentuk sebagai alat pengawal, perisikan atau pengawasan udara bagi menyerang sasaran dengan ketepatan tinggi tanpa perlu melibatkan kehadiran manusia di lapangan.

Ia berkeupayaan melakukan serangan tepat terhadap sasaran berprofil rendah di luar garisan penglihatan dengan melaksanakan navigasi secara autonomi sepenuhnya melalui sistem kawalan penerbangan unik milik STM. Hal ini, selaras dengan prinsip Man-in-the-Loop (Kawalan Manusia Dalam Litar).

Selain itu, Platform ini mampu mengesan dan menyerang sasaran statik atau bergerak dengan ketepatan tinggi dalam keadaan siang atau malam. Ini menjadikannya ideal untuk penggunaan di persekitaran peperangan bandar dan dari operasi tersebut Kargu yang dimiliki Turkiye, kini menjadi wajah baharu keupayaan tempur yang semakin digeruni.

Justeru, penghasilan Kargu oleh STM adalah sebagai solusi tempur yang boleh dikeran secara individu atau berkelompok, selari dengan strategi perancangan hybrid Turkiye. Ini kerana, melihat daripada keperluan pasukan khas dan unit infantri, melaksanakan serangan pantas ke atas sasaran bermusuh di kawasan urban.

Selain beroperasi secara tunggal, Kargu turut direka dengan kebolehan ‘swarming‘, yang membolehkan beberapa unit beroperasi serentak dalam formasi bagi melaksanakan serangan berskala lebih besar, sekaligus meningkatkan keberkesanan taktikal di medan tempur.

Kejayaan operasi ini turut mendorong penggunaannya dalam konflik lain seperti di Libya, di mana laporan menunjukkan Kargu berperanan dalam menyasarkan kedudukan pasukan musuh, sekali gus memperlihatkan potensinya di pentas antarabangsa.

Dari segi saiz Kargu berbentuk kecil ini, ia juga menggabungkan keupayaan loitering munition dan teknologi kecerdasan buatan (AI). Selain itu, Kargu juga mempunyai kelebihan mobility pantas, kos yang rendah dan keupayaan menjalankan operasi di kawasan sempit atau yang berhalangan.

Ditambah pula, gabungan sensor elektro-optikal, inframerah (IR), serta sistem navigasi GPS dan INS, membolehkan Kargu menjejak serta mengenal pasti sasaran dalam pelbagai kondisi medan, termasuk persekitaran yang mencabar seperti kawasan berhalangan atau urban.

Di samping itu, Kargu yang telah dieksport ke lebih 10 buah negara di tiga benua ini, turut mempunyai sistem pengecaman muka dan mampu mencari individu tertentu, di mana berkeupayaan pemprosesan imej masa nyata dan algoritma pembelajaran mesin yang terdapat dalam platform dengan mengesan sasaran statik atau bergerak.

Kekuatan operasinya membolehkan Kargu dikendalikan dalam tiga mod berbeza iaitu secara manual oleh operator, separa-autonomi dengan kawalan minimum, atau penuh-autonomi menggunakan algoritma pra-tetapan.

Dengan mempunyai sistem yang terdiri daripada Attack Drone Platform (Platform Dron Serangan) dan Mobile Ground Cotnrol Station (Stesen Kawalan Darat Mudah Alih), juga menjadikan Kargu sebagai dron jenis quadcopter yang mudah alih dan boleh dilancarkan dengan pantas.

Selain memenuhi keperluan domestik, Kargu juga mencatat kejayaan dari segi eksport, dengan beberapa negara di Asia Tengah, Afrika dan Timur Tengah yang membeli sistem ini. Namun begitu, pada tahun 2020, Kargu mencetuskan kontroversi selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa dron tersebut melancarkan serangan secara autonomi tanpa kawalan manusia ke atas pasukan musuh di Libya.

Bagaimanapun, STM menafikan dakwaan tersebut dan insiden ini telah menimbulkan perdebatan global mengenai penggunaan sistem senjata autonomi dan cabaran etika dalam peperangan moden.

Sementara itu, selain penggunaannya oleh pertahanan dari negara-negara lain, Malaysia turut tidak terkecuali berhasrat untuk memperoleh sistem Kargu di mana Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyatakan minat dan telah membuat tawaran kepada kepimpinan tertinggi ATM.

Berikutan, sistem dron yang digunakan oleh ATM kebanyakan digunakan buat pemantauan dan kawalan di sempadan negara terutama membabitkan kawasan berbukit dan hutan. Maka, dengan adanya sistem KARGU ini sedikit sebanyak berpotensi meningkatkan daya pertahanan negara dalam pelbagai bentuk operasi.

Menerusi kemajuan yang diciptakan oleh Turkiye dengan telah mengeluarkan sebanyak 5,000 unit dron dalam mempertingkatkan keupayaan sistem dalam sektor pertahanan, ia mencerminkan bahawa Kargu bukan sahaja dron serangan malah simbol perubahan mendalam dalam doktrin ketenteraan Turkiye dari bergantung kepada aset konvensional.

Hal ini demikian, Kargu menunjukkan trend baharu dalam peperangan abad ke-21: senjata yang senyap tetapi mematikan, di tangan kuasa yang mengetahui teknik penggunaan teknologi secara bijaksana. -airtimes.my

#AirTimes #STM #Kargu #Dron #UAV #Turkiye

Related Articles

Leave a Reply