IPOH, 7 Mei – Satu garis panduan akan diperkenalkan kerajaan negeri Perak bagi membolehkan tapak-tapak keagamaan di kawasan gua mengikut peraturan yang ditetapkan.
Sebelum ini rumah ibadat sedemikian beroperasi tanpa rujukan dasar yang jelas.
Kerangka panduan yang julung-julung kali diadakan ini bagi membolehkan permohonan secara sah, selamat dan berlandaskan prinsip pembangunan mampan.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak, Sandrea Ng berkata, perkara itu dijelaskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pembangunan Kawasan Gua dan Kaki Bukit Negeri Perak.
Katanya, mesyuarat ini telah memuktamadkan Garis Panduan Pembangunan dan Keselamatan Rumah Ibadat dalam Gua.
Ia menggariskan prosedur permohonan, syarat teknikal keselamatan serta tanggungjawab pematuhan oleh pihak berkaitan.
“Penubuhan jawatankuasa khas ini bertujuan menyelesaikan isu berlarutan dengan penuh kebertanggungjawaban dan mengutamakan keselamatan awam.
“Kerangka ini bukan sahaja membuka laluan pematuhan bagi rumah ibadat dalam gua sedia ada, malah menyediakan rujukan jelas untuk sebarang pembangunan pada masa hadapan,” ujarnya menerusi hantaran pada laman Facebook rasmi beliau.
Ketika ini terdapat 14 rumah ibadat dalam gua yang berada di atas tanah kerajaan.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak, Sandrea Ng berkata, penubuhan jawatankuasa khas ini bertujuan menyelesaikan isu berlarutan dengan penuh kebertanggungjawaban dan mengutamakan keselamatan awam
Bagaimana pun tegas Sandera, kesemua pengendali 14 rumah ibadat tersebut telah dimaklumkan secara rasmi agar tidak menjalankan sebarang kerja pembinaan buat masa ini.
Ia sementara pihak jawatankuasa memuktamadkan garis panduan.
“Laporan mendapati masih ada yang melanggar arahan tersebut. Tindakan lanjut akan diambil berdasarkan undang-undang demi menjamin keselamatan awam.
“Kerajaan negeri Perak menghormati kebebasan beragama, namun prinsip keselamatan dan kedaulatan undang-undang tetap harus diutamakan.
“Kami percaya penyelesaian terbaik ialah melalui kerangka sah yang inklusif dan lestari ke arah keseimbangan antara pemeliharaan warisan dan pembangunan,” ujar beliau.
Perak khususnya di Ipoh mempunyai banyak rumah ibadat di dalam gua yang kebanyakannya wujud sejak sebelum era kemerdekaan turut menjadi lokasi tumpuan pelancongan.
Kuil Sam Poh Tong (juga dikenali sebagai Gua Tiga Buddha) ialah kuil Cina yang dibina di dalam gua batu kapur dan merupakan kuil gua tertua dan utama di Ipoh.
Berdekatan dengan kuil ini yang juga di dalam gua ialah Ling Sen Tong Temple dan Gua Guanyin.
Perak Tong Temple pula merupakan salah satu kuil gua yang terkenal di Ipoh yang wujud pada tahun 1926.
Nam Thean Tong pula merupakan salah satu kuil gua tertua di Ipoh iaitu sejak tahun 1867.-airtimes.my
#semasa #airtimes #gua #rumahibadah #Malaysia