SINGAPURA, 8 MEI – Agensi Sains dan Teknologi Pertahanan Singapura (DSTA) dan syarikat pertahanan terkemuka Eropah, MBDA, memperkukuh kerjasama strategik bagi membangunkan teknologi baharu untuk mengekang ancaman sistem pesawat tanpa pemandu (UAS) yang semakin kompleks serta meluas di peringkat global.
Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua pihak memaklumkan bahawa kerjasama ini akan memberi tumpuan kepada pembangunan sistem pengesanan, pengecaman dan tindak balas terhadap ancaman dron secara lebih pantas, tepat dan kos efektif.
“Ancaman daripada sistem UAS bukan sahaja semakin berleluasa, malah berpotensi besar mengganggu keselamatan awam dan ketenteraman negara,
“Melalui kolaborasi bersama MBDA, kami berusaha membina sistem yang mampu bertindak balas terhadap ancaman ini dengan lebih berkesan dan responsif,” kata Ketua Pegawai Eksekutif DSTA, Mervyn Tan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MBDA, Eric Béranger berkata, kolaborasi tersebut adalah manifestasi komitmen syarikatnya untuk bekerjasama dengan rakan serantau dalam membangunkan keupayaan tindak balas terhadap dron.
“Kami melihat peningkatan ketara dalam penggunaan dron sebagai senjata dan alat gangguan dalam konflik moden. MBDA komited untuk menyediakan penyelesaian menyeluruh dalam menangani ancaman yang berkembang ini, dan kerjasama dengan DSTA menjadi contoh terbaik ke arah itu,” ujarnya.
Ancaman dron kini menjadi isu keselamatan global yang merentas sempadan. Di Amerika Syarikat, lebih 2,000 insiden hampir berlanggar antara pesawat komersial dan dron dilaporkan hanya pada 2024.
Di Eropah, teknologi anti-dron semakin diberi keutamaan, termasuk pelaburan dalam sistem gangguan elektronik seperti StormShroud yang diperkenalkan United Kingdom.
Dalam pada itu, konflik di Ukraine turut memperlihatkan peningkatan ketara dalam penggunaan dron serangan oleh kedua-dua pihak bertelagah, sekaligus mendedahkan keperluan mendesak terhadap sistem pertahanan udara yang mampu menangkis serangan UAS kecil yang sukar dikesan.
Kerjasama DSTA-MBDA ini dilihat sebagai langkah tepat dalam konteks geopolitik semasa, dengan Singapura mengambil peranan aktif dalam membentuk keupayaan pertahanan masa depan yang seimbang antara teknologi, keberkesanan dan kos. – airtimes.my