KELANTAN, 12 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tiada lagi ruang untuk kelewatan dalam pelaksanaan projek-projek rakyat, khususnya projek berstatus ‘sakit’ di Kelantan, yang perlu disiapkan segera demi kepentingan rakyat.
Ketika menghadiri Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Kelantan hari ini, Perdana Menteri menekankan keperluan untuk mempercepatkan pelaksanaan projek-projek yang memberi impak langsung kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat negeri itu.
“Saya singgung kepentingan memperhebat dan melicinkan lagi projek rakyat yang menjadi keutamaan, khususnya untuk impak pembangunan ekonomi dan kemajuan bersama-sama,
“Saya mengingatkan perlunya pemantauan rapi terhadap pelaksanaan projek, termasuk ‘projek sakit’, supaya dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan hatta mencapai prestasi yang membanggakan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasminya, hari ini.
Mesyuarat yang turut dihadiri Menteri Besar Kelantan, barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai kanan kerajaan Persekutuan dan Negeri itu memberi fokus kepada usaha memperhebat dan melicinkan lagi pelaksanaan projek-projek pembangunan rakyat.
“Perbincangan terarah kepada faktor yang boleh dipertimbang dalam menyegerakan projek seperti rancangan tebatan banjir supaya tidak membebankan rakyat sehingga melibatkan penambahan kos serta kerugian kewangan,” jelasnya lagi.
Beliau turut menzahirkan harapan agar segala inisiatif pembangunan di negeri ini sentiasa mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat Kelantan, serta diuruskan secara cekap dan telus.
Terdahulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI Peringkat Negeri Kelantan yang berlangsung di Pantai Irama, Bachok, bersama pimpinan negeri dan rakyat setempat.-airtimes.my
#Anwar #projeksakit #kelantan #Malaysia #airtimes #semasa