if ( function_exists( 'wp_body_open' ) ) { wp_body_open(); } else { do_action( 'wp_body_open' ); } ?>
Home Semasa Orang Asli dua kampung di Bidor dakwa tanah adat diceroboh, bina kuil haram

Orang Asli dua kampung di Bidor dakwa tanah adat diceroboh, bina kuil haram

by Zaki Salleh

IPOH, 12 April – Penduduk dua kampung Orang Asli suku Semai di Bidor menyuarakan rasa tidak puas hati serta kegusaran berikutan tanah adat yang menjadi sumber pencarian mereka diceroboh.

Ia melibatkan komuniti di Kampung Sanding dan Kampung Chang Lama yang didiami kira-kira 1,000 penduduk Orang Asli.

Selain pencerobohan jentera berat untuk kerja-kerja membersihkan tanah, ada juga lokasi tanah adat dikesan telah diceroboh apabila dibina kuil.

Plot yang dikatakan diceroboh pula tersebut adalah kawasan keramat berkaitan kepercayaan agama mereka.

Wilayah tanah adat orang asal adalah hak ke atas tanah dan sumber asli yang terdapat di sesebuah kawasan itu.

Hak tanah adat ini diperolehi oleh komuniti sejak nenek moyang yang terdiri dari mereka dengan pertalian darah yang rapat.

Semalam, memorandum bantahan telah dihantar oleh wakil-wakil penduduk kepada kerajaan negeri Perak.

Komuniti Orang Asli Kampung Chang Lama Sungai Gepai dan JK Bertindak (JKB) Lembaga Adat Tanah & Wilayah Adat Kampung Sanding hadir ke SUK Perak bagi melahirkan bantahan Isu pencerobohan tanah dan wilayah adat irang asli. Foto: Perak Kini

Mereka melibatkan Komuniti Orang Asli Kampung Chang Lama Sungai Gepai dan Jawatankuasa  Bertindak Lembaga Adat Tanah & Wilayah Adat Kampung Sanding.

Memorandum tersebut meminta kerajaan negeri Perak dapat mewartakan Tanah dan Wilayah Adat Orang Asli Kampung Sanding.

Rata-rata masyarakat Orang Asli di sini bergantung hidup dengan pendapatan yang berasaskan sumber pertanian.

“Pencerobohan berlaku pada 7 Mac lalu apabila pihak kontraktor memusnahkan tanaman dan pokok-pokok di Bukit Kerengga,” ujar Ketua Kampung Sanding, Aziz Bah Meruang.

Katanya, penduduk kampung terkejut kerana mereka langsung tidak mendapat apa-apa makluman daripada pihak yang terlibat.

“Kami terkejut tiba-tiba ada jentera yang masuk dan musnahkan tanaman yang menjadi umber pendapatan kami,” katanya.

Dakwa Aziz, hasil semakan pihaknya mendapati bahawa tanah terbabit telah diberi pajak kepada sebuah anak syarikat kerajaan negeri.

Ketegasan sama disuarakan Timbalan Ketua Kampung Chang Lama, Sabran Alap yang tidak mahu saki baki Tanah dan Wilayah Adat yang ada dirampas seperti sebelum ini.

“Kami sudah serik untuk bertolak ansur. Projek-projek yang dimajukan di tanah adat sebelumnya seperti penanaman durian, ternakan babi, lembu, chalet dan sebagainya tidak bermanfaat untuk komuniti kami.

“Ada kuil pula dibina tanpa meminta izin kami seolah-olah menghilangkan hak masyarakat Orang Asli,” ujarnya.

Tindakan kontraktor memasang papan tanda memaklumkan tanah tersebut telah diduduki membangkitkan rasa tidak puas hati penduduk.-airtimes.my

#ceroboh #tanahadat #kuil #Bidor #orangasli #airtimes #Malaysia

 

Related Articles

Leave a Reply