TAMBULANAN, 12 April – Usaha memperkukuh kawalan sempadan negara terus diperkasa apabila Tentera Darat Malaysia (TDM) membina Pos Tambulanan, Sabah yang kini menjadi antara pos kawalan baharu strategik di kawasan sempadan.
Perasmian pos tersebut disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan pada Jumaat.
Menurut TDM, pembinaan pos tersebut menandakan satu lagi langkah signifikan dalam inisiatif berterusan TDM untuk memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa berada pada tahap tertinggi.
“Pos Tambulanan merupakan antara beberapa pos kawalan baharu yang dibina sebagai sebahagian daripada usaha berterusan TDM untuk memastikan kedaulatan dan keselamatan tanah air sentiasa terpelihara,
“Sebagai benteng pertahanan negara, TDM memikul tanggungjawab menjaga keselamatan sempadan sepanjang masa, termasuk ketika musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri,” jelas TDM dalam satu kenyataan.
Tegasnya, anggota tentera yang bertugas di pos-pos kawalan menjalankan operasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu demi menjamin keselamatan rakyat Malaysia.
“Perasmian ini mencerminkan komitmen berterusan TDM dalam memperkukuhkan pertahanan negara serta keprihatinan terhadap kebajikan anggota,” ujar kenyataan itu lagi.
Dalam majlis yang sama, Panglima Tentera Darat turut menyampaikan Sumbangan Hari Raya kepada anggota bertugas, sebagai penghargaan atas dedikasi dan pengorbanan mereka dalam menjaga keselamatan negara.-airtimes.my
#TDM #Malaysia #postambulanan #sempadan #airtimes #sabah