KUANTAN, 5 APRIL – Kedaulatan negara perlu dipertahankan sepanjang masa tanpa mengira waktu, begitu juga dengan menyelamatkan nyawa.
Itu yang dapat kita lihat dalam usaha Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang melaksanakan misi penerbangan ihsan untuk membantu seorang pesakit yang memerlukan rawatan kritikal walaupun berhadapan dengan cuaca buruk.
Ketika Syawal belum genap seminggu, No 10 Skuadron TUDM telah melakukan melaksanakan penerbangan ihsan membawa seorang pesakit dari Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman ke Hospital Tunku Ampuan Afzan (HTAA).
Misi penerbangan tersebut dikongsikan oleh TUDM di akaun media sosial rasmi mereka.
Menurutnya, pesakit berusia 58 tahun, Rahim Shadan mengalami masalah kesihatan serius iaitu “Severe Pneumonia with Bronchospasm and Pulmonary Edema” yang memerlukan bantuan oksigen tinggi.
“Pesawat EC 725AP dari No 10 Skuadron, Pangkalan Udara (PU) Kuantan telah diatur gerak pada jam 10.55 pagi bersama dua orang pegawai perubatan dari HTAA,
“Pesawat tiba di Lapangan Terbang Pulau Tioman pada jam 11.26 pagi sebelum berlepas semula ke PU Kuantan dengan pesakit dan tiba pada jam 12.38 tengah hari. Pesakit kemudiannya dibawa ke HTAA menggunakan ambulans,” kata TUDM.
Menurutnya, misi ini diketuai oleh Mejar Mohamad Horas Matupang Kardi TUDM dengan bantuan Kapt Muhammad Suzaini Saleh TUDM selaku pembantu juruterbang. Turut terlibat ialah Kuartermaster Udara, Flait Sarjan Jilvanio Stephanus dan Sarjan Udara Muhammad Izuddin Mansor serta anggota Pasukan Khas TUDM (PASKAU), Koperal Udara Fabian Petrus dan Koperal Udara Muhammad Raziq Ronally John.
“Walaupun berdepan dengan cuaca buruk semasa melaksanakan misi tersebut, anak kapal No 10 Skuadron berjaya menyempurnakannya dengan selamat,
“Kejayaan ini membuktikan pegawai dan anggota serta aset TUDM sentiasa dalam siap siaga sebilang masa bagi melaksanakan sebarang operasi yang diamanahkan walaupun sebilangan rakyat Malaysia yang lain masih lagi meraikan hari raya,” ujar TUDM.
Severe Pneumonia with Bronchospasm and Pulmonary Edema merupakan satu keadaan kesihatan yang kompleks. Keadaan ini melibatkan 3 masalah utama iaitu radang paru-paru teruk , bronkospasma dan edema paru-paru. Keadaan sebegini boleh mengancam nyawa pesakit jika tidak dirawat dengan segera.
Radang paru-paru teruk (Severe Pneumonia) merupakan jangkitan pada paru-paru yang menyebabkan organ tersebut dipenuhi dengan cecair atau nanah. Keadaan ini sudah tentu menyukarkan pesakit untuk bernafas dan menyebabkan kurang oksigen dalam badan.
Bronkospasma (Bronchospasm) pula keadaan di mana saluran pernafasan kecil (bronkus) menjadi sempit atau mengecut. Keadaan sebegini sekaligus menghalang aliran udara masuk dan keluar dari paru-paru.
Edema paru-paru (Pulmonary Edema) pula merupakan keadaan di mana berlakunya pengumpulan cecair dalam kantung udara di dalam paru-paru, yang menghalang oksigen daripada diserap dengan baik ke dalam aliran darah. Keadaan edema ini boleh disebabkan oleh masalah jantung (kegagalan jantung) atau masalah pernafasan yang teruk seperti pneumonia
Gabungan ketiga-tiga keadaan ini amat berbahaya kerana ia mengganggu pernafasan pesakit dengan teruk. Tambahan pula, pesakit yang mengalami “Severe Pneumonia with Bronchospasm and Pulmonary Edema” sering kali memerlukan bantuan oksigen yang tinggi kerana tahap oksigen dalam darah menurun dengan ketara.
Sudah tentu keadaan sebegini merupakan satu keperluan yang mendesak dan memerlukan TUDM untuk membantu pemindahan pesakit dari Pulau Tioman ke Hospital Tunku Ampuan Afzan.
Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa bantuan segera yang diberikan oleh TUDM melalui penerbangan ihsan adalah satu tindakan yang amat penting dalam menyelamatkan nyawa pesakit.
Penerbangan ihsan yang dilaksanakan oleh TUDM bukan sekadar operasi penerbangan biasa. Ia merupakan misi kritikal yang menyelamatkan nyawa dan memberikan bantuan kepada mereka yang amat memerlukan. Dalam situasi darurat atau kesihatan kritikal yang menuntut tindakan segera, penerbangan ihsan menjadi harapan terakhir bagi ramai individu—terutamanya mereka yang berada di kawasan pedalaman atau terpinggir dari kemudahan perubatan utama.
TUDM telah memainkan peranan yang tidak ternilai dalam melaksanakan penerbangan ihsan ini, menggunakan aset seperti helikopter EC725AP dan AW139 yang dilengkapi dengan kemudahan perubatan asas. Ini bagi memastikan pesakit menerima rawatan dan keselesaan yang terbaik sepanjang penerbangan.
Sebagai contoh, pada 17 Januari 2025, sebuah helikopter EC 725 AP milik TUDM telah melaksanakan misi kecemasan membawa seorang bayi berusia sebulan dari Pulau Tioman ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan. Misi ini dijalankan bagi memastikan bayi tersebut dapat menerima rawatan perubatan segera yang amat diperlukan. Bayangkan seorang ibu yang hanya dapat melihat anaknya terbaring lemah, berharap agar bantuan tiba tepat pada masanya. Bagi mereka, deruan enjin helikopter yang muncul di langit bukan sekadar bunyi kenderaan—ia adalah harapan.
Bukan itu sahaja, TUDM juga sentiasa bersedia menghulurkan bantuan semasa bencana alam seperti banjir. Dengan keupayaan aset-aset udaranya, TUDM mampu menggerakkan operasi menyelamat dan bantuan kemanusiaan dengan lebih pantas dan efisien berbanding kaedah darat.
Kaedah menggunakan helikopter bagi tujuan pengangkutan bukanlah sesuatu yang asing bagi kita semua. Ini dengan melihat pengoperasian helikopter di seluruh Malaysia pada era Perang Dingin.
Walaupun tidak ada statistik rasmi yang menyatakan jumlah keseluruhan penerbangan ihsan yang telah dilaksanakan setiap tahun, misi-misi ini tetap diteruskan demi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia terpelihara.
Setiap kali pesawat TUDM berlepas dalam misi kemanusiaan, ia membawa bukan sahaja anggota dan peralatan, tetapi juga harapan dan peluang hidup kepada mereka yang berada dalam kesusahan.
Penerbangan ihsan TUDM menjadi bukti jelas bahawa keupayaan pertahanan negara tidak terhad kepada aspek keselamatan semata-mata. Ia turut melangkaui batas tugas ketenteraan dengan melibatkan diri dalam misi kemanusiaan dan kebajikan rakyat.
Kegigihan serta kecekapan anggota TUDM dalam melaksanakan tugas ini wajar diberikan pujian dan pengiktirafan. Pengorbanan mereka tidak mengenal masa, tempat, atau keadaan. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #TUDM #Airbus #EC725AP