GAZA, 6 APRIL – Israel kini telah menggerakkan pasukan tenteranya secara besar-besaran ke dalam ‘koridor keselamatan’ baharu yang dinamakan sebagai Morag Corridor di selatan Gaza, menurut kenyataan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Koridor ini yang diumumkan pada Rabu, dikatakan bertujuan untuk mengasingkan Rafah yang kini berada di bawah arahan pemindahan daripada kawasan lain di Gaza. Netanyahu turut membayangkan bahawa Morag Corridor akan berfungsi sebagai zon penampan di antara Rafah dan Khan Younis.
Menurut kenyataan daripada tentera Israel pada Sabtu, pasukan dari Divisyen 36 kini ditempatkan di dalam koridor tersebut. Peta yang disiarkan oleh media Israel menunjukkan koridor ini melintasi jalur pantai Gaza dari timur ke barat.
Selain itu, Israel kembali berkawal di Koridor Netzarim, yang kini mengasingkan Bandar Gaza dan bahagian utara Gaza daripada kawasan selatan. Koridor Netzarim dan Philadelphi kini membentuk laluan berterusan dari sempadan Israel ke Laut Mediterranean.
Secara tidak langsung, Israel telah membahagikan Jalur Gaza kepada 3 bahagian. – airtimes.my