KUALA LUMPUR, 4 April – Kerajaan digesa membatalkan Majlis Aidilfitri Madani yang dirancang diadakan di seluruh negara, sebaliknya menyalurkan peruntukan kepada mangsa tragedi letupan gas di Putra Heights.
Gesaan itu dibuat Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal menerusi kenyataan media.
Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu merangkap Pengerusi Portfolio Hal Ehwal Antarabangsa mengecam sekeras-kerasnya keputusan kerajaan untuk meneruskan penganjuran Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025.
Tegasnya, mangsa-mangsa tragedi letupan gas di Putra Heights sedang melalui detik-detik paling getir dalam hidup mereka.
Wan Ahmad Fayshal berkata, dalam keadaan getir seperti ini, kerajaan seharusnya menunjukkan keutamaan yang jelas membela nasib mangsa, bukan meraikan majlis penuh glamor dengan dana rakyat.
“Pengumuman bantuan tunai sebanyak RM5,000 kepada mangsa bencana ini adalah jauh dari mencukupi.
“Jumlah itu bahkan tidak mampu menampung kos asas seperti pembaikan rumah rosak, penggantian peralatan asas, atau rawatan perubatan yang berterusan.
“Ini bukan soal memberi ‘saguhati’, ini soal memulihkan kehidupan rakyat yang terkesan.
“Menghamburkan jutaan ringgit untuk sambutan Aidilfitri rasmi dalam masa yang sama hanya memperuntukkan RM5,000 kepada mangsa tragedi adalah satu penghinaan kepada penderitaan rakyat,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam/
Jelas Wan Ahmad Fayshal, sandaran moral dan ekonomi wajar untuk kerajaan menangguhkan sementara Majlis Aidilfitri Madani.
Sebaliknya, rakyat akan menghormati kerajaan jika ia memilih untuk merendah diri, dan memfokus kepada pemulihan dan bantuan pasca-bencana.
“Kos keseluruhan majlis ini dijangka mencecah antara RM10 juta hingga RM20 juta, mengambil kira kos katering mewah, pentas, logistik, dan protokol VIP.
“Dana sebanyak ini lebih bermakna jika disalurkan untuk membaik pulih kediaman mangsa, menyediakan rawatan perubatan dan sokongan kesihatan mental, bantuan tunai menyeluruh bagi keluarga yang kehilangan punca pendapatan
dan penempatan sementara yang selesa dan selamat,” ujarnya lagi.