BRUSSELS, 31 Mac – Suruhanjaya Eropah (EU Commission) menggesa seluruh penduduk Eropah menyimpan bekalan makanan dan keperluan asas mencukupi sekurang-kurangnya untuk 72 jam sebagai langkah persediaan menghadapi ancaman dan krisis yang mungkin berlaku.
Gesaan ini terkandung dalam Strategi Kesatuan Kesiapsiagaan (Preparedness Union Strategy) yang dilancarkan Suruhanjaya Eropah untuk meningkatkan kemampuan negara-negara anggota mencegah serta bertindak balas terhadap pelbagai ancaman baru.
Strategi ini, menurut EU, merupakan respons proaktif terhadap cabaran geopolitik, ancaman siber, manipulasi maklumat asing, perubahan iklim serta bencana alam yang semakin kerap berlaku.
Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, menegaskan penduduk Eropah perlu bersiap sedia menghadapi realiti baharu yang memerlukan tahap kesiapsiagaan lebih tinggi.
“Realiti baharu memerlukan tahap kesiapsiagaan yang baharu di Eropah. Penduduk, negara anggota, dan perniagaan kita memerlukan alatan yang betul untuk bertindak balas dengan pantas ketika berlakunya bencana,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Eropah baru-baru ini.
Gesaan ini turut disokong Naib Presiden Suruhanjaya Eropah merangkap Wakil Tinggi Hal Ehwal Luar dan Keselamatan, Kaja Kallas, yang menekankan pentingnya Eropah bersatu serta bersedia secara menyeluruh menghadapi ancaman semasa.
“Kita sedang menghadapi peningkatan cabaran keselamatan luaran serta serangan hibrid yang kian bertambah di ruang Eropah bersama. Jelas sekali bahawa Eropah mesti lebih kuat di setiap peringkat masyarakat dan kerajaan,” katanya.
Menurut Kallas lagi, lebih baik mencegah krisis daripada terpaksa berdepan dengan akibatnya. Beliau menambah strategi baharu ini akan meningkatkan kesedaran risiko dalam kalangan rakyat dan memperkukuhkan kerjasama awam-tentera serta kerjasama dengan sekutu luar, termasuk Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Sebagai sebahagian usaha kesiapsiagaan itu, penduduk Eropah disaran mengambil langkah praktikal seperti menyimpan bekalan asas termasuk makanan, air, ubat-ubatan serta peralatan kecemasan lain untuk tempoh sekurang-kurangnya 72 jam.
EU turut bercadang memperkenalkan ‘Hari Kesiapsiagaan Eropah’ bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan warga Eropah tentang kepentingan persediaan menghadapi krisis.
Selain bekalan asas, strategi ini turut menekankan perlunya penetapan kriteria minimum kesiapsiagaan bagi perkhimatan penting seperti hospital, sekolah, pengangkutan dan telekomunikasi, serta pengukuhan stok bahan kritikal.
Dalam laporan terdahulu oleh Niinistö mengenai kesiapsiagaan Eropah, dinyatakan bahawa peningkatan kesiapsiagaan awam dan ketenteraan dalam menghadapi cabaran keselamatan adalah keperluan mendesak.
Menurut laporan itu lagi, kesiapsiagaan bukan sahaja tanggungjawab nasional, malah perlu dijadikan usaha kolektif melibatkan seluruh EU untuk memastikan keberkesanan koordinasi dan tindak balas.
Sehubungan itu, EU akan mewujudkan Hab Krisis EU untuk memperkukuhkan koordinasi tindak balas terhadap sebarang ancaman serta melaksanakan latihan kesiapsiagaan secara berkala melibatkan pasukan keselamatan awam dan tentera.
Strategi ini juga menggariskan pentingnya kerjasama awam-swasta serta kerjasama strategik dengan rakan luar seperti NATO untuk memperkukuh keselamatan serantau.
Dengan pendekatan proaktif ini, EU berhasrat memastikan Eropah menjadi lebih berdaya tahan serta mampu melindungi rakyatnya daripada sebarang ancaman yang bakal muncul pada abad ke-21. – airtimes.my