KUALA LUMPUR, 25 MAC – Tiada tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa berhubung kegiatan sebuah persatuan yang didakwa mempromosi fahaman dan amalan komunis di Malaysia, meskipun perkara terbabit telah lama dilaporkan oleh media berbahasa Cina.
Bekas Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim berkata, isu ini bukanlah sesuatu yang baharu, sebaliknya sudah lama dibiar berlarutan.
“Saya difahamkan media berbahasa Cina telah lama membuat liputan kegiatannya, namun pihak berkuasa tidak sekalipun tampak bertindak,” ujarnya ketika ditemui di Wisma Budi selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.
Mengulas lanjut, kata beliau, sejak 1948, Malaysia tidak pernah mengiktiraf komunisme dan telah memeranginya hingga tahun 1960 yang membawa kepada penggubalan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum ia digantikan dengan SOSMA.
Namun, sebaik video yang membongkar kegiatan Persatuan Promosi Penyatuan Secara Aman Satu China ini mula tular, beliau yakin laporan polis wajar dibuat agar siasatan segera dapat dijalankan.
Ujarnya, persatuan yang tidak berdaftar ini dikhuatiri mempunyai agenda tersembunyi yang boleh mempengaruhi masyarakat menerima ideologi komunis.
Malah, tidak menolak kewujudan beberapa persatuan lain yang turut memperjuangkan ideologi serupa.
“Bagi seseorang atau sekumpulan aktivis yang mempromosi ajaran dan kepentingan komunis di Malaysia amatlah dikhuatiri akan menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam justeru bertentangan dengan lunas kenegaraan Malaysia yang berteraskan Rukun Negara,
“Lantaran Malaysia menentang fahaman dan amalan komunis sejak 1948 lagi. Maka kegiatan pertubuhan tersebut dikhuatiri mengkompromi kedaulatan dan keselamatan negara Malaysia,” tambahnya.
Dalam pada itu, Rais turut menyatakan kebimbangannya apabila terdapat laporan mengenai pengibaran bendera komunis di beberapa buah negeri disamping menyanyikan lagu Komunis China, baru-baru ini.
“Aktiviti sebegini ini berupa tanda-tanda yang bakal meruntuhkan unsur-unsur tatasusila dan tatanegara kita,
“Justeru saya mengambil peluang ini (membuat laporan polis) demi tanah air kita. Perbuatan mencabul kedudukan dan tatasusila Malaysia adalah sesuatu yang mesti diambil berat,” tegasnya.
Disamping itu, beliau turut menggesa pihak berkuasa menyiasat kewujudan sekolah-sekolah swasta yang beroperasi menggunakan silibus luar, termasuk sekolah swasta Tionghua, Universiti Xiamen dan beberapa institusi lain yang berpotensi menjadi platform penyebaran ideologi asing.
Tegasnya, pertubuhan yang bergerak bebas ini perlu diperiksa dengan lebih teliti agar tidak berlaku penyusupan ajaran yang bercanggah dengan prinsip dan identiti negara.
Oleh yang demikian, terdapat keperluan bagi pihak berkuasa segera bertindak sebelum pengaruh ini berkembang dan merosakkan struktur sosial serta keselamatan negara. – airtimes.my
#RaisYatim #komunisme #AirTimes #Malaysia #persatuan #siasat