KUALA LUMPUR, 24 Mac – Setiap urusan berkaitan rumah ibadah perlu dirujuk kepada badan rasmi masing-masing sebelum melakukan sebarang tindakan agar tidak membuka ruang kepada ketegangan dalam masyarakat.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, bagi umat Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Jabatan Agama Islam Negeri bertanggungjawab dalam hal masjid dan surau, manakala penganut Hindu boleh merujuk kepada Hindu Sangam untuk urusan berkaitan kuil.
Menurutnya, ia bertujuan bagi memastikan kestabilan dan penghormatan antara agama serta mengelakkan tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan.
“Perlu diingat, dalam sejarah negara ini, banyak masjid dan surau juga pernah dipindahkan atas pelbagai faktor seperti perancangan bandar dan melangkaui tanah yang sudah ada pemiliknya yang sah,
“Umat Islam menerima keputusan itu dengan hati terbuka lantas berlumba-lumba menyumbang dan berwakaf untuk pembelian tanah baharu kerana memahami keperluan dan keadilan yang lebih besar,
“Maka prinsip yang sama harus diterapkan dalam semua keadaan. Tidak boleh ada dua piawaian dalam menangani isu rumah ibadat,” katanya dalam laman Facebooknya pada Ahad.
Sebelum ini, Pengasas Jakel, Allahyarham Mohamed Jakel Ahmad telah mewakafkan tanah di Jalan Masjid India untuk pembinaan sebuah masjid bagi menampung keperluan komuniti di kawasan itu.
Ketua Bahagian Undang-Undang dan Komunikasi Korporat Jakel Trading Sdn Bhd, Aiman Dazuki turut menjelaskan bahawa rancangan pemindahan kuil Hindu itu dibuat bagi memberi laluan kepada pembinaan masjid berkenaan.
Bagaimanapun, penyokong pemeliharaan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Kuala Lumpur mencadangkan ‘tapak alternatif’ untuk pembinaan masjid tersebut.
Mengulas lanjut, Zulkifli turut memberi peringatan tegas kepada segelintir pihak yang cuba mengeruhkan keadaan dengan menegaskan jangan bermain api dengan sentimen agama.
“Agama bukan pelaris untuk dijadikan medium melampias amarah dan kejadongan (jahat, bodoh dan sombong),
“Perpaduan kita juga bukan alat untuk dipolitikkan,” ujarnya lagi.
Beliau turut menegaskan, rakyat Malaysia sudah cukup matang untuk mengenal pasti siapa yang benar-benar mahu menjaga keharmonian dan siapa yang hanya mahu meraih keuntungan politik dengan mencetuskan perbalahan.
“Saudara-saudaraku, baik Muslim mahupun Hindu, kita telah hidup bersama di bumi ini sejak sekian lama. Jangan biarkan isu yang sepatutnya diselesaikan melalui saluran sah dijadikan bahan untuk memecahbelahkan kita,
“Keharmonian bukan sekadar slogan, tetapi amanah yang perlu kita jaga dengan kejujuran dan keadilan. Marilah kita kembali kepada akhlak yang diajarkan agama masing-masing iaitu berbicara dengan fakta, bertindak dengan hikmah, dan menghormati hak masing-masing,” tegasnya lagi.-airtimes.my
#semasa #Malaysia #kuil #masjid #roboh #airtimes