ANKARA, 22 MAC – Perolehan kapal misi pelbagai guna (Multi Purpose Mission Ship-MPMS) Maritim Malaysia memasuki fasa seterusnya apabila Surat Setuju Terima (SST) perolehan dimeterai.
SST adalah suatu surat rasmi yang memaklumkan penerimaan tanpa bersyarat daripada kerajaan ke atas tawaran yang dikemukakan oleh syarikat.
Pemeteraian ini bermakna proses pembinaan kapal bakal dimulakan tidak lama lagi.
Majlis menandatangani Surat Setuju Terima (SST) bagi perolehan kapal ini berlangsung di Desan Shipyard, Turkiye.
Ia selaras dengan usaha meningkatkan keupayaan operasi Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan maritim negara khususnya di Laut China Selatan.
Selain majlis menandatangani SST ini, delegasi Malaysia turut mengadakan lawatan ke ibu pejabat dan limbungan selenggara Desan Shipyard.
Ini bagi melihat keupayaan dan kemampuan syarikat berkenaan dalam pembinaan kapal.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik Jeman berkata, perolehan kapal bernilai USD68.8 juta (RM304 juta) ini adalah langkah strategik dalam memperkukuh keselamatan perairan negara.
Selain itu ia mencerminkan hubungan erat Malaysia dan Turkiye dalam sektor pertahanan dan industri pembinaan kapal.
“Kapal MPMS ini akan menjadi aset penting dalam mempertingkatkan keupayaan penguatkuasaan Maritim Malaysia.
“Kerjasama ini membuktikan komitmen kedua-dua negara dalam menangani ancaman keselamatan maritim yang semakin kompleks, termasuk pencerobohan vesel asing dan aktiviti jenayah rentas sempadan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli Abdullah menjelaskan, kapal ini dilengkapi dengan teknologi canggih dan sistem operasi moden.
Dengan teknologi tersebut kapal ini mampu meningkatkan keberkesanan kawalan perairan negara.
“Kapal sepanjang 99 meter ini boleh beroperasi selama 30 hari tanpa henti dan mampu membawa 70 kru serta 30 penumpang.
“Ia juga dilengkapi dengan empat bot pemintas pantas (FIC), dua dron udara tanpa pemandu (UAV), dek pendaratan helikopter, fasiliti perubatan serta pusat tahanan,” katanya.
Beliau menambah, apabila kapal ini siap dibina, ia akan memberi tumpuan kepada pengawasan di Laut China Selatan terutama dalam menangani pencerobohan vesel asing, aktiviti penangkapan ikan haram, penyeludupan dan pemerdagangan manusia.
Sebelum ini, majlis pemeteraian perjanjian ini dimeterai pada 11 Februari lalu semasa lawatan rasmi Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan, yang disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dengan perolehan MPMS ini, Maritim Malaysia yakin dapat meningkatkan kecekapan operasi, sekali gus memperkukuh kawalan keselamatan perairan negara. – AIRTIMES.MY