KUALA LUMPUR, 13 MAC – Kerajaan sentiasa sedar dan berwaspada terhadap sebarang risiko ancaman serta kemungkinan tindak balas kepada negara berhubung sokongan berterusan kepada Gaza.
“Adalah tidak wajar Malaysia dikenakan sebarang tindakan atau sekatan kerana Malaysia tidak pernah menyalurkan sebarang bentuk bantuan ketenteraan kepada Hamas meskipun Malaysia tidak menganggap Hamas sebagai kumpulan pengganas,” kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau menegaskan, pada dasarnya sokongan Malaysia terhadap Gaza lebih bersifat diplomatik, kemanusiaan dan moral, bukan pada ketenteraan.
“Sokongan yang diberikan ini adalah wajar dan disuarakan secara betul bersama-sama masyarakat antarabangsa yang lain,” katanya dalam penyataan jawapan lisan di Dewan Negara.
Mohamed Khaled turut menegaskan, sokongan Malaysia terhadap Palestin mencerminkan komitmen kepada prinsip keadilan sejagat dan hak asasi manusia.
Sehubungan itu, Khaled berkata lagi, tindak balas boleh berlaku dari segi tindakan diplomatik dan ekonomi, di mana negara menyokong Israel terutamanya AS berkemungkinan mengenakan sekatan perdagangan secara langsung atau tidak langsung.
Selain itu, berisiko menjadi sasaran serangan siber daripada kumpulan pro-Israel mahupun entiti lain yang tidak bersependapat dengan pendirian Malaysia.
“Malaysia tegas dalam menangani ekstremisme, sentimen terhadap isu Gaza boleh dieksploitasi oleh pihak tertentu untuk menyebarkan ideologi radikal,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, tindakan tegas Malaysia dalam isu ini boleh memberi kesan terhadap hubungan ekonomi dengan beberapa buah negara yang menyokong Israel, walaupun kesannya bergantung pada tahap tindakan yang diambil.
Malaysia sebelum ini melalui Kementerian Luar telah menerima tiga notis ‘demarche’ daripada Kedutaan Amerika Syarikat (AS); dua daripadanya pada 13 dan 30 Oktober 2023, manakala satu lagi dihantar kepada Duta Besar Malaysia ke AS di Washington pada 18 Oktober 2023.
‘Demarche’ ialah istilah diplomatik yang merujuk kepada tindakan politik dan pengeluaran notis ini ekoran keengganan Malaysia melabel Hamas sebagai kumpulan pengganas.
Bagaimanapun, kerajaan terus memainkan peranan aktif dalam memperjuangkan keadilan buat rakyat Palestin serta menyumbang kepada usaha perdamanaian di peringkat global. -airtimes.my
#AirTimes #Gaza #Palestin #Pertahanan #Malaysia