KUALA LUMPUR, 13 Mac – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terus memperkukuh keupayaan operasi dengan menerima empat buah lagi Fast Interceptor Craft (FIC) G2000 MKII Fasa Kedua daripada syarikat tempatan, Gading Marine Industry (M) Sdn Bhd.
Majlis penyerahan keempat-empat FIC G2000 MKII di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu telah disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali, pada Rabu
Penyerahan secara rasmi dimeterai menerusi majlis menandatangani Sijil Penyerahan antara Pengarah Urusan Gading Marine Industry, Dato’ Ir. Jamalolail Mohd Yatim dan Timbalan Setiausaha Bahagian Perolehan (B), Kementerian Pertahanan, Hazlin Selamat.
Menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF), FIC G2000 MKII merupakan aset maritim yang dibangunkan dan dibekalkan oleh syarikat tempatan, Gading Marine Industry (M) Sdn. Bhd.
Sebelum ini, syarikat berkenaan telah menyerahkan empat unit FIC G2000 MKII Fasa Pertama pada 11 Januari 2024. Manakala, baki lima unit lagi dijangka diserahkan menjelang hujung tahun ini, melengkapkan keseluruhan 13 unit seperti yang dirancang.
Pada 2 Februari 2024, TLDM secara rasmi telah menerima kumpulan pertama empat buah FIC G2000 MKII daripada Gading Marine Industry Sdn Bhd, dengan majlis penyerahan itu telah disaksikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Menurut TLDM, keempat-empat FIC G2000 Mk II yang diterima ini akan ditempatkan di Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2), Sandakan bagi membendung dan menyekat kegiatan jenayah rentas sempadan meliputi pengekangan kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), penyeludupan, pelanunan serta rompakan laut.

Majlis menandatangani Sijil Penyerahan keempat-empat FIC G2000 MKII itu telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan Gading Marine Industry Datuk Ir Jamalolail Mohd Yatim dan Timbalan Setiausaha Bahagian Perolehan Kementerian Pertahanan Hazlin Selamat. Foto: GMI (M) Sdn Bhd.
FIC G2000 Mk II ini dilengkapi dengan Remote Control Weapon Station (RCWS) Escribano yang membolehkan penembakan senjata jenis CANiK M2 Quick Change Barrel (QCB) 12.7mm Heavy Machine Gun (HMG) dilaksanakan secara automatik.
FIC G2000 Mk II dengan panjang 18 meter ini juga dilengkapi dengan enjin yang lebih berkuasa dan berkemampuan untuk mencapai kelajuan sehingga 52 knot.
Selain itu, susun atur dalaman FIC ini juga telah ditambah baik bagi memberikan lebih keselesaan kepada kru ketika melaksanakan operasi.
Hull FIC G2000 MKII ini dibina sepenuhnya oleh anak-anak tempatan manakala pemasangan peralatan utama seperti jentera utama daripada Jerman, sistem waterjet daripada New Zealand, janakuasa daripada Amerika Syarikat, peralatan komunikasi dan navigasi serta Machinery Control System daripada United Kingdom, juga dilaksanakan sepenuhnya warga tempatan.
Penyerahan Fizikal ini membuktikan bahawa Syarikat tempatan juga berkeupayaan menghasilkan produk, yang setaraf, dengan produk keluaran luar negara, sekiranya diberi peluang.-airtimes.my
#pertahanan #airtimes #TLDM #GMI #botFIC #Malaysia #Sabah