KUALA LUMPUR, 8 MAC – Kereta kebal utama (MBT) PT-91M PENDEKAR Tentera Darat Malaysia (TD) akan menjalani Program Pelanjutan Hayat (Life Extension Programme, LEP) pada tahun 2027.
MBT ini akan mencapai tahap usia pada tahun yang sama.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam satu jawapan bertulis di Parlimen.
“Bagi memastikan kelangsungan MBT PENDEKAR dalam perkhidmatan ATM, pihak TD telah merancang untuk melaksanakan LEP MBT ini melalui Rolling Plan Kedua (RP2), Rancangan Malaysia ke-13 (RMKe-13) tahun 2027,” kata Menteri Pertahanan.

Tentera Darat Malaysia telah mengoperasikan PT-91M PENDEKAR semenjak tahun 2007. Foto: Air Times
Menurut beliau, pelaksanaan LEP ini akan dapat memanjangkan hayat MBT tersebut sehingga 15 tahun dengan kos yang lebih rendah berbanding perolehan baharu yang memerlukan kos yang tinggi.
Khaled menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Tanah Merah, Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz yang meminta pihak Kementerian Pertahanan menjelaskan rancangan masa hadapan kelangsungan PT-91M Pendekar.
Bekas Timbalan Menteri Pertahanan itu turut bertanyakan adakah pihak Kementerian Pertahanan mengambil prestasi buruk keupayaan MBT dalam perang antara Ukraine Rusia.
“Tambahan lagi keputusan pihak Original Equipment Manufacturer (OEM) untuk tidak mengeluarkan lagi alat ganti bagi MBT jenis ini,” kata Ikmal.
Menyentuh perkara tersebut, Khaled menjelaskan prestasi di Ukraine tidak sepatutnya menjadi kayu pengukur untuk PT-91M Pendekar.
“Kementerian Pertahanan juga berpandangan bahawa penggunaan MBT yang terlibat di dalam konflik peperangan Rusia-Ukraine ini tidak boleh dijadikan sebagai penanda aras yang sesuai untuk menilai keupayaan MBT PENDEKAR,
“Ini memandangkan terdapat perbezaan yang ketara antara operational environment (persekitaran operasi) di Malaysia dan di Ukraine,” ujar Khaled.
Beliau menegaskan PT-91M PENDEKAR yang merupakan satu-satunya MBT dalam TD masih lagi sesuai digunakan bagi memenuhi keperluan atur gerak semasa operasi dan latihan serta masih relevan dengan persekitaran operasi di Malaysia.
“Pada masa yang sama, pihak TD juga akan mendapat manfaat daripada peningkatan keupayaan KJA tersebut dengan peningkatan teknologi baharu dan moden,” kata Menteri Pertahanan.
PT-91M Pendekar merupakan MBT yang dihasilkan oleh firma Bumar Łabędy dari Poland. Aset strategik ini telah mula dioperasikan oleh TD pada tahun 2007 dan mempunyai jangka hayat operasi selama 20 tahun. Perolehan yang dibuat hampir 20 tahun lalu itu dilaksanakan bagi menggantikan peranan Scorpion 90 CVRT.

Tentera Darat Ukraine telah menerima sekurang-kurangnya 60 buah kereta kebal PT-91 dari Poland. Foto: Tentera Darat Ukraine
PT-91M PENDEKAR merupakan varian khusus PT-91 Twardy yang dihasilkan oleh Bumar Łabędy untuk Malaysia pada tahun 2007 hingga 2009. Sebanyak 48 buah kereta kebal ini dihasilkan.
Poland telah menghantar 30 buah PT-91 kepada Ukraine sebagai pakej bantuan ketenteraan kepada Kyiv yang berhadapan dengan asakan Rusia. Bantuan yang disalurkan pada April 2023 telah digunakan oleh 22nd Mechanized Brigade Tentera Darat Ukraine semasa melancarkan serangan balas terhadap Rusia.
Selain 22nd Mechanized Brigade, kereta kebal buatan Poland ini turut digunakan oleh 117th Mechanized Brigade.
Sehingga kini, sebanyak 60 buah PT-91 Twardy telah diserahkan oleh Poland kepada Ukraine. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #PT91M #Pendekar #TenteraDarat