Home Semasa MCCF eratkan hubungan perpaduan antara kaum melalui program “Iftar For All”

MCCF eratkan hubungan perpaduan antara kaum melalui program “Iftar For All”

by M.Daim

LUNAS, 8 MAC – Selari dengan semangat bulan Ramadan, pihak Malaysian Community Care Foundation (MCCF) Zon Utara telah menganjurkan program “Iftar For All”.

Program berbuka puasa ini telah dianjurkan dengan Eco Vision Recycle Sdn. Bhd. dan Alagapas di Surau Al-Amin, Taman Kobis, Lunas pada Jumaat.

Menurut Pengerusi MCCF Malaysia, Dato’ Seri Halim Ishak, program ini merupakan satu inisiatif yang bermatlamat untuk membantu golongan yang memerlukan, sekaligus membina hubungan yang lebih erat dalam komuniti.

Program Iftar For All rapatkan hubungan pelbagai kaum melalui program anjuran MCCF, Alagappa’s dan Eco Vision. Foto: MCCF

“Melalui usaha ini, MCCF berbesar hati dapat menyalurkan bantuan makanan kepada ibu tunggal, warga emas, orang kurang upaya (OKU), serta golongan kurang berkemampuan sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kenyataan yang sama, MCCF menjelaskan sebahagian daripada makanan tersebut turut dihantar terus ke rumah keluarga yang tidak mempunyai kemudahan pengangkutan, bagi memastikan tiada siapa yang terpinggir.

“MCCF yang diwakili oleh Jeevithan P. Ganasan, selaku Timbalan Pengerusi MCCF, bersama pasukan MCCF, turut berpeluang berbuka puasa bersama komuniti setempat, mengukuhkan lagi ikatan kebersamaan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

“MCCF juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada  Hj. Rahim, Pengerusi Surau dan KRT Taman Kobis, atas sokongan serta layanan mesra dalam menjayakan acara ini,” jelas kenyataan itu.

MCCF berharap ramai pihak akan tampil menyokong dan membantu untuk jayakan program Iftar For All. Foto: MCCF

Pihak pertubuhan MCCF turut menyatakan pihak mereka berharap lebih banyak syarikat korporat, organisasi dan individu prihatin akan tampil menyokong serta menyumbang bagi meneruskan kejayaan program “Iftar For All” pada masa hadapan.

“Kepada yang ingin menyumbang boleh terus klik link https://mccf.asia/donate/ ,” katanya.

#AirTimes #Malaysia #MCCF

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?