PUTRAJAYA 8 Mac – Aspek kerohanian terus diberikan keutamaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) apabila terus memperkukuh nilai tersebut dalam kalangan warganya menerusi Program Pemantapan Nilai-Nilai Murni.
Berlangsung di Ibu Pejabat Maritim Malaysia petang semalam, program khas sempena Ramadan ini melibatkan penyertaan anggota dari pelbagai peringkat.
Ia dihadiri kira-kira 300 warga Maritim Malaysia termasuk kepimpinan tertinggi serta pegawai-pegawai kanan.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli Abdullah berkata z program ini bukan sekadar mengimarahkan Ramadan tetapi menjadi platform penting dalam membentuk sahsiah anggota untuk lebih berintegriti dan berdaya tahan tinggi.
“Semangat kebersamaan dan integriti yang tinggi bukan sahaja memperkukuh ukhuwah dalam kalangan warga Maritim Malaysia, tetapi juga memastikan agensi ini terus cemerlang dalam melaksanakan tanggungjawab melindungi perairan negara,” katanya.
Program ini dimulakan dengan aktiviti gotong-royong memasak bubur lambuk dan gulai kawah, melibatkan penyertaan anggota dari pelbagai peringkat.
Tradisi yang telah menjadi sebahagian daripada budaya Maritim Malaysia sejak dua dekad lalu, bukan sahaja menghidupkan semangat
kekeluargaan, malah mengukuhkan hubungan silaturahim antara kakitangan.
Program kali ini turut diselitkan dengan sesi penyampaian Bingkisan Aidilfitri kepada anggota yang bertugas di seluruh negara oleh PUSPANITA Cawangan Kecil Maritim Malaysia.
Pengerusinya, Datin Noriyanti Mohd Noor berkata, sumbangan tersebut adalah tanda penghargaan kepada pengorbanan dan komitmen anggota yang bertugas tanpa mengira waktu demi memastikan keselamatan perairan negara.
Simbolik penyerahan Bingkisan Aidilfitri telah disempurnakan Noriyanti dengan menyerahkan sumbangan kepada Mohd Rosli sebelum diagihkan kepada sektor-sektor di Ibu Pejabat dan Pengarah Maritim Negeri.
Mohd Rosli turut menzahirkan penghargaan atas inisiatif ini yang mana sumbangan tersebut
merupakan lambang kebersamaan dan keprihatinan dalam keluarga besar Maritim Malaysia.
“Sumbangan bingkisan ini sebenarnya jika dihayati, lebih daripada sekadar sumbangan, bingkisan.
“Ini adalah simbol kebersamaan dan keprihatinan keluarga besar Maritim Malaysia terhadap setiap pegawai dan anggota yang tetap memikul amanah menjalankan tugas.
“Diharapkan ini mampu menyemarakkan semangat dan menyuntik kemeriahan Aidilfitri kepada seluruh warga Maritim Malaysia yang bertugas di hari raya,” katanya.
Menjelang waktu berbuka, program diteruskan dengan sesi zikir munajat, tazkirah dan perkongsian ilmu yang memberi pengisian rohani kepada warga Maritim Malaysia.
Majlis diteruskan dengan solat maghrib berjemaah serta solat terawih yang dipimpin oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Khidmat Pengurusan Maritim Malaysia, Kepten Maritim Ustaz Haji Nik Kamaruddin Haji Yunoh.
Program ini turut menyantuni 16 orang anak yatim dari Rumah Bakti Al-Kausar Bangi sebagai semangat kasih sayang dan kebersamaan yang menjadi tunjang dalam institusi Maritim Malaysia.
