WASHINGTON, 5 MAC – Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) pada Selasa mengisytiharkan kumpulan Houthi Yaman atau Kumpulan Ansarallah sebagai Pertubuhan Pengganas Asing (FTO).
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio memaklumkan, langkah ini memenuhi janji yang dibuat oleh Presiden Donald Trump selepas memegang jawatan Presiden AS.
“Hari ini, Jabatan Negara telah memenuhi salah satu janji pertama Presiden Trump selepas menjawat jawatan.
“Kegiatan kumpulan Houthi mengancam keselamatan orang awam dan kakitangan warga Amerika di Timur Tengah, mengancam rakan serantau terdekat kami serta kestabilan perdagangan maritim global,” katanya.
Presiden Donald Trump sebelum ini memulakan proses menamakan Houthi sebagai FTO sejurus selepas memegang jawatan pada Januari, tetapi tindakan itu belum menjadi rasmi sehingga Jabatan Negara AS meluluskan arahan itu.
Penamaan itu berikutan perintah eksekutif yang dikeluarkan pada 22 Januari oleh Trump, yang meminta Houthi dipertimbangkan untuk status FTO.
Selain itu, Rubio menegaskan bahawa AS tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana negara yang terlibat dengan organisasi pengganas.
Sebelum ini, Houthi telah melancarkan serangan dron dan peluru berpandu ke atas kapal kargo yang berhubungan dengan Israel di Laut Merah sebagai tanda solidariti terhadap Gaza, di mana lebih 48,300 mangsa telah terbunuh dalam serangan Israel sejak Oktober 2023. -airtimes.my
#KumpulanHouthi #AmerikaSyarikat #DonaldTrump #Pengganas #Global #Airtimes