KUALA LUMPUR, 6 Mac – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan bahawa pihaknya memandang serius tindakan seorang individu yang memuat naik kandungan di media sosial yang jelas mempermainkan serta mempersendakan ajaran Islam.
Kandungan tersebut dilaporkan telah tular dan mencetuskan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, pihaknya telah membuat aduan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut terhadap kandungan yang menyentuh sensitiviti agama Islam.
Selain itu, laporan polis turut dikemukakan bagi memastikan tindakan tegas dapat diambil selaras dengan undang-undang yang berkuat kuasa.
“JAKIM menyeru agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap individu berkenaan bagi mengelakkan perkara ini berulang. Kami juga ingin mengingatkan semua pihak agar berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang boleh menyentuh sensitiviti agama,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Terdahulu, tular di media sosial video seorang warganet membuat kenyataan mempersendakan ajaran agama Islam.
“You sengaja buat-buat, selepas itu nak minta maaf. You tahu kita (penganut Hindu) sembahyang, satu dunia tahu kita sembahyang tetapi you sengaja buat, polis pun diam,
“Semua curi dan mangsakan rakyat Malaysia. Curi berbilion-bilon. Lagi sembahyang tongeng 5 kali. Semua polis, menteri semua rahsuah. Yang terbaru RM170 bilion,” ujar seorang individu dalam hantaran video berdurasi hampir 4 minit yang tular di media sosial.
Tindakan itu juga turut dilakukan oleh warganet lain sehingga mencetuskan ketegangan antara agama dan kaum di Malaysia.
Beliau turut menjelaskan bahawa insiden berkenaan berpotensi menimbulkan ketidakharmonian antara kaum serta mencetuskan provokasi dan ketegangan dalam masyarakat.
Sehubungan itu, JAKIM menasihatkan semua pihak agar menghentikan sebarang tindakan yang boleh mengeruhkan keadaan.
Beliau juga mengingatkan masyarakat supaya mengamalkan sikap saling menghormati terutamanya dalam bulan Ramadan yang mulia ini.
Tegasnya, keamanan dan kesejahteraan negara hanya dapat dikekalkan melalui sikap saling memahami antara masyarakat pelbagai kaum dan agama.
“Kami menyeru semua pihak untuk menjaga adab dan menghormati agama masing-masing bagi memastikan keharmonian negara terus terpelihara,” tambahnya lagi.-airtimes.my
#semasa #hina #Islam #JAKIM #siasat #airtimes