Home Semasa Kolumnis: Langkah tepat pilih syarikat luar bina MPMS elak masalah seperti projek OPV

Kolumnis: Langkah tepat pilih syarikat luar bina MPMS elak masalah seperti projek OPV

by Zaki Salleh

Jika tidak kerana kelewatan menyiapkan projek kapal ronda pesisir (OPV), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sepatutnya lebih berupaya dengan tiga kapal baharu.

Kapal-kapal OPV ini pasti telah pun menjadi perisai belayar membelah samudera negara.

Malang, daripada tiga hanya sebuah OPV dapat disiapkan, itupun setelah tertangguh banyak kali sepanjang bertukar empat pentadbiran kerajaan.

OPV 1 bernama KM Tun Fatimah telah diserahkan kepada KDN pada Januari 2024.

Setelah tertangguh lebih enam tahun, pembinaan baki dua OPV ini masih tergantung.

Kegagalan projek OPV APMM telah memberi persepsi negatif umum terhadap kemampuan syarikat tempatan yang menerima tanggungjawab.

Ini kerana kepercayaan yang diberikan kerajaan, tidak kiralah pentabdiran lalu atau semasa gagal dilunaskan walaupun setelah diberi penangguhan demi penangguhan.

Apatah lagi, kemelut projek ini membayangi masalah serupa yang dihadapi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam menyiapkan kapal tempur pesisir (LCS).

Sebab itu pengumuman kerajaan memilih syarikat perkapalan Türkiye untuk membina kapal misi pelbagai guna (MPMS) Maritim Malaysia dilihat sebagai keputusan tepat dan bijak.

Syarikat Desan Shipyard dari Turkiye telah dipilih berdasarkan merit selain kepakaran dan keupayaan yang diiktiraf pada peringkat global.

Tambah meyakinkan apabila pembinaan kapal sepanjang 99 meter ini disasarkan siap pada 2027 atau dalam tempoh dua tahun.

Ia lebih panjang sedikit berbanding OPV KM Tun Fatimah.

Seperti kata pepatah Melayu, ‘jangan pisang berbuah dua kali’, kita tidak mahu masalah sama berulang jika limbungan kapal yang kurang pengalaman diberi peluang.

Adalah lebih baik menganugerahkan kontrak kepada syarikat luar yang benar-benar mempunyai keupayaan berbanding dibina dalam negara walaupun atas alasan menyokong industri tempatan.

Tiada maknanya memberikan sokongan jika akhirnya pasukan keselamatan atau pun penguatkuasaan seperti Maritim Malaysia terpaksa berputih mata apabila kapal diingini tidak siap-siap.

Ini kerana kapal peronda bersaiz demikian tidak boleh dibina oleh sebarang syarikat tanpa kapasiti dan rekod projek.

Kontrak perolehan tiga OPV bernilai RM738.9 juta ini dimeterai TH Heavy Engineering (THHE) pada Januari 2017 untuk disiapkan dalam tempoh 42 bulan dan sepatutnya siap pada Julai 2020.

la merupakan penganugerahan kontrak secara rundingan terus untuk keperluan projek di dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Kementerian Kewangan (MOF) kemudian terpaksa menyuntik pinjaman RM152.6 juta menjadikan kos keseluruhan kira-kira RM891.5 juta.

Justeru, perolehan MPMS merupakan satu keputusan tepat dalam menangani cabaran keselamatan maritim.

Berpandukan pada model yang ditunjukkan juga membayangkan MPMS menyerupai sebuah kapal korvet atau kapal peronda bersaiz besar tetapi dengan ciri-ciri bagi tugas penguatkuasaan di laut.

Melihat kepada nasib projek OPV, terbaharu kerajaan mengumumkan bahawa projek tersebut akan tetap diteruskan walaupun kontrak asal dengan kontraktor telah ditamatkan tahun lepas.

Kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, kementeriannya akan meneliti perkara berkaitan termasuk mencari kontraktor baharu.

Penamatan kontrak OPV ditandatangani pada 31 Disember 2024 dan syarikat itu dikenakan Kadar Denda dan Ganti Rugi Ditetapkan (LAD) lebih RM12 juta atas kelewatan menyiapkan OPV 2 dan OPV 3.

“Berhubung status kapal OPV APMM, asalnya kita sepatutnya menerima tiga buah kapal, tetapi setakat ini hanya satu yang siap dan telah beroperasi di Pulau Indah.

“Dua lagi kapal masih dalam pembinaan. Kabinet telah memutuskan agar KDN berbincang dengan syarikat terlibat untuk melaksanakan penamatan kontrak secara persetujuan bersama (mutual termination).

“Kami mewarisi isu ini daripada pentadbiran terdahulu. Untuk menyiapkan projek ini, kita telah meluluskan tambahan peruntukan RM150 juta.

“Walaupun kerja telah mencapai lebih 60% siap, ia masih tidak dapat diselesaikan mengikut jadual,” ujar beliau.

Maritim Malaysia memerlukan kapal-kapal ini untuk mengawal lebih 590,000 km persegi sempadan maritim Malaysia.

Sekiranya kerajaan mendapati tiada syarikat perkapalan tempatan yang sesuai untuk meneruskan projek OPV, tidak salah jika memilih limbungan dari luar. – airtimes.my

#Kolumnis #Pertahanan

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?