Home Semasa PN desak kerajaan tegas tolak cadangan Trump usir rakyat Palestin

PN desak kerajaan tegas tolak cadangan Trump usir rakyat Palestin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 5 Feb – Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan untuk menentang cadangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang ingin memindahkan penduduk Palestin dari Semenanjung Gaza ke negara-negara jiran seperti Mesir dan Jordan.

Ketua Portfolio Hubungan Antarabangsa Perikatan Nasional, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, mendesak kerajaan untuk mengadakan sidang khas bagi membahaskan isu berkenaan secara terperinci.

Beliau menyifatkan tindakan AS dan Israel yang mahu mengusir rakyat Gaza ke Jordan dan Mesir sebagai satu bentuk ‘pembersihan etnik’ dan ‘neo-kolonialisme’ terhadap rakyat Palestin.

“Ini satu perkara yang amat besar kerana ia menentukan masa depan bukan sahaja geopolitik timur tengah tapi juga dunia Islam dan pendirian moral Malaysia selaku pejuang Palestin dalam menangani isu ini,

“Kita tahu sudah banyak kali pembangkang mendesak kerajaan adakan sidang khas tapi setiap kali desakan ini dibuat perkara ini di ketepikan oleh Tuan Yang Dipertua dan bagi saya dengan alasan yang tidak munasabah,

“Ini adalah satu saat yang memerlukan keberanian daripada Parlimen daripada Tuan Yang Dipertua untuk menyegerakan kerana ini isu-isu yang melibatkan kepentingan bersama,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Terdahulu, Donald Trump semasa menerima kunjungan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Washington DC, pada Selasa mengemukakan cadangan agar AS ‘mengambil alih’ Gaza.

Beliau turut mengulangi gesaannya supaya rakyat Palestin dipindahkan secara kekal dari Gaza ke negara-negara jiran seperti Mesir dan Jordan, meskipun kedua-dua negara berulang kali menolak cadangan tersebut.

Dalam masa yang sama, Wan Fayhsal mengecam kenyataan Trump dan menyifatkannya sebagai penghapusan etnik dan satu bentuk neo-kolonialisme.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah turut berkata, negara perlu tegas menyatakan pendiriannya terhadap perkara itu kerana kenyataan Trump baru-baru ini akan menjejaskan kestabilan rantau Asia Barat.

“Tidak ada negara yang boleh memiliki bangsa lain dan kenyataan Trump ini sangat berbahaya kepada masyarakat dunia termasuklah Gaza yang dia ketahui dalam keadaan yang sangat parah selepas perang lebih 15 bulan itu,” ujarnya lagi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menjelaskan, Malaysia akan menggerakkan usaha pembinaan semula infrastruktur penting di Gaza susulan gencatan senjata yang bermula pada 19 Januari lalu.

Anwar berkata, Malaysia akan memainkan peranan aktif dalam membina semula sebuah sekolah, hospital, dan masjid di Gaza sebagai sebahagian daripada usaha membantu meringankan penderitaan penduduk Palestin yang terjejas.

Namun, terdapat pelbagai reaksi terhadap pengumuman itu, dengan sebahagian pihak menyambut baik usaha Malaysia, manakala yang lain mengkritik pendekatan tersebut. -airtimes.my

#semasa #Malaysia #Anwar #PN #Palestin #gaza #airtimes

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?