KUALA LUMPUR, 30 Jan — Malaysia akan menggerakkan usaha pembinaan semula infrastruktur penting di Gaza susulan gencatan senjata yang diumumkan setelah konflik berpanjangan mengorbankan lebih 46,000 nyawa dan menyebabkan lebih 2 juta rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia akan memainkan peranan aktif dalam membina semula sebuah sekolah, hospital, dan masjid di Gaza sebagai sebahagian daripada usaha membantu meringankan penderitaan penduduk Palestin yang terjejas.
Beliau menegaskan bahawa inisiatif ini akan direalisasikan melalui gabungan kerjasama antara pelbagai pihak termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta, perniagaan, dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.
“Justeru, Malaysia akan menggerakkan usaha membina sebuah sekolah, hospital, dan masjid di Gaza bagi membantu meringankan penderitaan yang ditanggung penduduk Palestin,
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar turut mengumumkan bahawa Malaysia dan Jepun telah mencapai kesepakatan untuk mempercepatkan usaha membina semula Gaza menerusi inisiatif Kerjasama antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD). Sejajar dengan itu, sebuah dana khas akan ditubuhkan bagi menyokong usaha pembangunan semula wilayah yang terkesan akibat konflik.
“Alhamdulillah, kerajaan Malaysia dan kerajaan Jepun juga telah berjaya mencapai kesepakatan untuk menyegerakan usaha membina semula Gaza menerusi inisiatif Kerjasama antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) dengan menubuhkan dana khas bagi menyokong pembangunan semula wilayah yang terkesan,
“Moga kewujudan dana khas ini akan mencapai misi dan matlamat yang kita rancang,” jelasnya lagi.
Perdana Menteri turut menyeru rakyat Malaysia untuk terus berdoa dan memberi sokongan kepada rakyat Palestin, agar mereka diberikan perlindungan dan kekuatan dalam menghadapi cabaran yang mendatang.
“Semoga Allah SWT memberkati setiap usaha dan pengorbanan kita dalam memberikan harapan baharu buat Gaza dan Palestin,” tambahnya.-airtimes.my
#Palestin #Gaza #Malaysia #Anwar #bantuan #Jepun
