SIBU, 31 Jan – Trup Batalion Kesembilan Rejimen Sempadan (9 RS) di bawah kawalan operasi Op MURNI bagi kawasan tanggungjawab (KTJ) Briged Kesembilan Infantri Malaysia (9 Bgd) telah diatur gerak sebagai pasukan sokongan bagi membantu Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di kawasan terjejas banjir di Bahagian Sibu.
Menurut pihak 9 Bgd, trup 9 RS berpusat di Bilik Gerakan APM Daerah Sibu bersama aset bantuan perairan dan kenderaan, telah dikerahkan sejak 29 Januari 2025 ke Daerah Kanowit.
Operasi melibatkan dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS), iaitu PPS Dewan Serbaguna Penghulu Seribu Ng Tada dan PPS Dewan Kompleks Sukan, Kanowit.
“Antara tugas utama trup yang diatur gerak termasuk membantu agensi tempatan meninjau paras air di dalam KTJ, memindahkan mangsa banjir ke PPS berdekatan serta menyalurkan sumbangan ke beberapa penempatan yang terputus hubungan akibat bencana banjir,” jelas pihak 9 Bgd dalam hantaran di media sosialnya.
Situasi banjir di Sabah dan Sarawak semakin buruk dengan keseluruhan mangsa yang ditempatkan di PPS di kedua-dua negeri itu meningkat kepada 12,000 orang.
Di Sarawak, jumlah mangsa banjir di Sarawak setakat pagi ini mencecah seramai 7,760 orang daripada 2,185 keluarga dan ditempatkan di 54 pusat pemindahan sementara (PPS).
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, dua lagi PPS menempatkan 129 mangsa tanah runtuh di Miri manakala satu PPS menempatkan 37 mangsa kebakaran rumah panjang di Kanowit.
Ia sekali gus menjadikan jumlah PPS yang masih aktif di seluruh Sarawak kini sebanyak 56 dan menempatkan mangsa seramai 7,926 orang daripada 2,225 keluarga.
Pada Khamis, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kesemua aset bantuan bencana telah dikordinasikan ke 13 lokasi terjejas banjir di Sarawak.
Beliau berkata, ia termasuk keperluan membina jambatan sementara atau jambatan Bailey yang dikoordinasi bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara turut berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) juga akan mengadakan koordinasi dengan pihak terlibat termasuk Kementerian Pendidikan bagi mengenal pasti lebih banyak dewan sekolah dan dewan orang ramai di kawasan tinggi yang sesuai dijadikan PPS.
Tambahnya, sistem amaran awal juga telah diaktifkan bagi memberikan amaran sekurang-kurangnya tiga hari sebelum kejadian air pasang besar bagi memudahkan proses pemindahan dan penduduk menyelamatkan dokumen serta barang-barang penting.-airtimes.my
#TDM #airtimes #banjir #pertahanan #Sarawak