KUALA LUMPUR, 5 Feb – Kementerian Pertahanan (MINDEF) menegaskan, bahawa pendekataan sewaan bagi perolehan 28 helikopter untuk pelbagai agensi kerajaan adalah teratur dan bersandarkan keperluan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan, perkara ini akan turut diulas dan dijawab sekali lagi semasa sesi penggulungan kementerian bagi perbahasan yang dijadualkan pada 20 Februari 2025.
Jelasnya, kelebihan-kelebihan pendekatan ini telah beliau hujahkan semasa sesi penggulungan Belanjawan 2025 (Peringkat Dasar) yang lalu.
“Selain itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah memberi penerangan semasa menjawab pertanyaan lisan di Dewan Rakyat pada 28 November 2024,” jelas Menteri Pertahanan dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin meminta kerajaan memberikan penjelasan berhubung isu kos pajakan 28 helikopter yang melibatkan kontrak bernilai RM16.5 bilion untuk kegunaan pasukan keselamatan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Beliau mendakwa, jumlah itu dilihat sangat besar dan menimbulkan persoalan, terutama jika dibandingkan dengan kos pembelian helikopter oleh negara lain.
Hamzah turut menyatakan kebimbangan kemungkinan wujud skandal baharu berkaitan pajakan aset pertahanan ini.
“Semasa pentadbiran Perikatan Nasional (PN), Kementerian Dalam Negeri (KDN) menolak idea sewaan helikopter ini selepas kajian mendapati pembelian terus lebih menjimatkan berbanding menyewa,
“Kita tidak mahu pisang berbuah 2 kali seperti skandal kapal tempur persisir (LCS),
“Sepatutnya, faktor commonality (persamaan), harga dan kualiti tempur menjadi pertimbangan utama kerajaan dalam melaksanakan perolehan sesuatu aset ketenteraan,” ujarnya lagi.-airtimes.my
#pertahanan #sewa #helikopter #mindef #ATM #airtimes