KUALA LUMPUR, 6 Feb – Malaysia dengan tegas menolak sebarang rancangan yang boleh membawa kepada pemindahan atau pengusiran paksa rakyat Palestin dari tanah air mereka, menyifatkan tindakan sedemikian sebagai pembersihan etnik yang melanggar prinsip undang-undang antarabangsa serta pelbagai resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Kementerian Luar (Wisma Putra) menegaskan bahawa sebarang penyelesaian secara sebelah pihak yang menafikan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib mereka sendiri serta mencabuli kebebasan mereka adalah tidak boleh diterima dan hanya akan memburukkan lagi konflik berpanjangan di rantau itu.
“Malaysia kekal teguh dalam solidaritinya bersama rakyat Palestin. Satu-satunya jalan penyelesaian yang adil dan berkekalan bagi mencapai keamanan serta kestabilan di Timur Tengah adalah melalui penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” kata Wisma Putra dalam kenyataan.
Malaysia juga menggesa masyarakat antarabangsa untuk bersatu dalam menyeru penyelesaian yang adil serta dihormati rakyat Palestin.
Sehubungan itu, Malaysia menegaskan semula seruannya agar semua negara yang masih belum menyokong penyelesaian dua negara segera mengambil langkah mengiktiraf Negara Palestin dan menyokong keanggotaan penuhnya dalam PBB.
Seruan ini selari dengan Resolusi Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam 2024 yang diterima pakai pada 11 November 2024.
Dalam usaha memastikan keamanan berkekalan, Malaysia turut menyatakan sokongannya terhadap inisiatif diplomatik dan multilateralisme yang sedang digerakkan oleh Global Alliance dan The Hague Group dalam merealisasikan penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.
Pada Rabu, Donald Trump semasa menerima kunjungan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Washington DC, mengemukakan cadangan agar AS ‘mengambil alih’ Gaza.
Beliau turut mengulangi gesaannya supaya rakyat Palestin dipindahkan secara kekal dari Gaza ke negara-negara jiran seperti Mesir dan Jordan, meskipun kedua-dua negara berulang kali menolak cadangan tersebut.-airtimes.my
#Malaysia #Gaza #Palestin #pemindahan #airtimes #semasa