KUALA LUMPUR, 5 FEB – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyatakan, pemasangan infrastruktur Fiber to The Home (FTTH) di 73 kem atau pangkalan tentera dijangka dapat diselesaikan sepenuhnya dalam tempoh 24 bulan.
“Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menyiarkan dokumen Pelawaan bagi perkara ini pada 2 Januari 2025 berdasarkan peruntukan di bawah Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Pemberian Perkhidmatan Sejagat) 2002,” jelasnya.
Justeru, pihak SKMM akan meneruskan proses penilaian serta melantik syarikat pelaksana, yang dijangka dapat diselesaikan pada Mac 2025.
Sehubungan itu, pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga telah mengadakan satu sesi taklimat teknikal pada 16 Januari 2025, bagi penyediaan maklumat berkenaan 73 lokasi kem atau pangkalan ATM.
Susulan, kesemua pemegang lesen yang telah mendaftarkan minat kepada pihak SKMM mengikut keperluan pelawaan tersebut, dipanggil untuk sesi taklimat tersebut.
Menurut Khaled, pemegang lesen yang memenuhi syarat-syarat kelayakan perlu mendaftarkan minat kepada SKMM, sebelum atau pada 9 Januari 2025, dan seterusnya memajukan cadangan lengkap sebelum 3 Februari 2025.
Program Jalinan Digital Negara (JENDELA) Kementerian Pertahanan bagi pemasangan Fiber To The Home (FTTH) di 73 lokasi kem atau pangkalan ATM adalah kerjasama antara Kementerian Pertahanan dan Kementerian Komunikasi.
Pemasangan fiber optik ini melibatkan peruntukan sebanyak RM99 juta yang juga termasuk pada 59, 420 pintu Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT).
Bagaimanapun, program tersebut dibiayai oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melalui tabung Universal Service Provision (USP). -airtimes.my
#AirTimes #ATM #JENDELA #FTTH #Malaysia