Home Semasa PLKN 3.0: Ini patriotisme atau indoktrinasi politik? – Indera Mahkota

PLKN 3.0: Ini patriotisme atau indoktrinasi politik? – Indera Mahkota

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 5 Feb – Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Sri Saifuddin Abdullah, membangkitkan persoalan sama ada Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 benar-benar bertujuan membina patriotisme atau sekadar menjadi alat indoktrinasi politik kerajaan.

Beliau berkata, pihaknya telah memberikan 7 justifikasi mengapa program itu tidak seharusnya diteruskan, dengan menegaskan bahawa kos pelaksanaannya amat tinggi berbanding kesan positif yang boleh diperoleh melalui institusi pendidikan sedia ada.

“PLKN 1.0, 2.0 dan kini 3.0 melibatkan perbelanjaan yang besar, tetapi kesannya tidak seberapa. Sedangkan manfaat yang sama boleh diperoleh menerusi program lain yang sudah tersedia di sekolah dan universiti,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Saifuddin turut mempersoalkan rasional tempoh pelaksanaan program tersebut, yang terdiri daripada fasa pra-PLKN selama 3 hari 2 malam, fasa asas selama 45 hari dan fasa lanjutan yang masih belum ditentukan tempohnya.

“Kita boleh yakin ke jumlah masa yang disebutkan Menteri Pertahanan dalam Dewan Rakyat semalam sebagai lanjutan kepada apa-apa yang dianggap asas di sekolah selama 11 tahun? Tidak logik,” tegasnya lagi.

Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai kandungan modul PLKN 3.0, yang menurutnya berpotensi menjadi alat untuk indoktrinasi politik.

“Sebagai contoh, dalam modul Kenegaraan terdapat Elemen Jati Diri yang merangkumi penerapan identiti nasional dalam konsep Malaysia Madani. Selain itu, Elemen Perpaduan pula menekankan pembinaan negara bangsa sebagai tonggak perpaduan Malaysia Madani,” jelasnya.

Menurut beliau, salah satu lagi elemen yang dimasukkan dalam modul asas kesejahteraan hidup Malaysia Madani adalah tajuk ‘Harmoni Madani’, yang menimbulkan tanda tanya sama ada ia sekadar alat untuk mengukuhkan fahaman politik kerajaan semasa.

“Ini patriotisme atau indoktrinasi politik?” soal beliau.

Tegasnya, ini adalah antara sebab utama mengapa PLKN 3.0 tidak wajar dilanjutkan.

PLKN 3.0 telah diumumkan untuk dilaksanakan semula selepas dihentikan pada 2018, dengan kerajaan menyatakan ia bertujuan memperkukuhkan jati diri dan semangat patriotisme dalam kalangan belia.

Namun, pelaksanaannya terus menjadi perdebatan dalam kalangan pelbagai pihak.-airtimes.my

#semasa #PLKN #Malaysia #airtimes

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?