KUALA LUMPUR, 5 FEB – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bersama semua pertubuhan Islam di negara ini mengecam sekeras-kerasnya kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid menyifatkan, kenyataan Trump itu sebagai biadap dan ia merupakan serangan langsung terhadap kedaulatan Palestin, undang-undang antarabangsa serta hak asasi manusia.
“Dunia perlu menyampaikan mesej yang jelas bahawa Gaza bukan ‘hadiah’ untuk direbut atau tanah jajahan yang boleh diperintah oleh kuasa asing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
“Kenyataan Trump yang tidak bertanggungjawab dan angkuh ini mendedahkan agenda neo-kolonial yang berbahaya, bertujuan merampas hak rakyat Palestin ke atas tanah air mereka,” tambahnya.
Menurutnya, Presiden AS mendakwa negara itu akan mengambil alih dan memiliki Gaza melalui rancangan pembangunan semula.
Mohd Azmi menegaskan lagi, kenyataan Trump bukan sekadar kata-kata, tetapi petunjuk berbahaya terhadap cita-cita imperialistik yang mesti dihentikan sebelum menjadi realiti.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, usaha untuk ‘memiliki’ Gaza bukanlah pembangunan semula, tetapi satu bentuk penjajahan moden yang berselindung di sebalik topeng bantuan kemanusiaan.
Susulan, Trump mengumumkan cadangan pemindahan rakyat Palestin keluar dari Gaza ke negara-negara jiran secara kekal sambil menggelar Gaza sebagai ‘tapak perobohan’.
Sehubungan itu, MAPIM serta pertubuhan-pertubuhan Islam lain menolak sekeras-kerasnya rancangan haram, tidak bermoral dan bersifat imperialistik serta menuntut tindakan dari masyarakat antarabangsa.
Katanya lagi, ia menuntut masyarakat antarabangsa untuk menolak mutlak ke atas sebarang usaha penguasaan Gaza oleh AS atau mana-mana pihak asing.
“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) perlu bertindak segera untuk menghalang sebarang cubaan kuasa asing menguasai tanah Palestin,” tambahnya.
Tegasnya, tuntutan keadilan bagi jenayah perang Israel, memfokuskan pada usaha oleh masyarakat antarabangsa untuk menamatkan pendudukan Israel dan harus kekal selain membatalkan sekatan haram bagi memastikan keadilan buat mangsa Palestin.
Pada masa sama, beliau turut menekankan hanya rakyat Palestin berhak menentukan masa depan mereka sendiri.
Dalam pada itu, Malaysia juga perlu mengambil pendirian tegas dengan mengetuai usaha diplomatik bagi mengecam serta menggagalkan sebarang rancangan asing yang mencabuli kedaulatan Palestin.
“Dunia tidak boleh berdiam diri terhadap cita-cita penjajahan terang-terangan seperti ini yang menyerupai penindasan serta penjajahan yang pernah dialami negara-negara lemah oleh kuasa besar,” katanya. -airtimes.my
#AirTimes #Gaza #Palestin #Israle #DonaldTrump #Malaysia