KUALA LUMPUR, 5 Feb – Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor kecewa apabila isu berhubung pelarasan pencen veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bersara sebelum 1 Januari 2013 masih tidak lagi menemui jalan penyelesaian.
Beliau turut menarik balik ucapan terima kasih yang pernah diberikan kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berhubung isu ini.
Tegasnya, keputusan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang diumumkan pada November tahun lalu telah menyebabkan jurang perbezaan pencen antara veteran yang bersara sebelum dan selepas 1 Januari 2013 semakin melebar.
“Saya amat gembira ketika pengumuman pelarasan pencen dibuat dalam sesi penggulungan Bajet 2024 pada 7 November lalu,
“Saya jangka pelarasan pencen akan dilakukan dahulu sebelum SSPA dilaksanakan. Tetapi sebaliknya, SSPA terus dikuatkuasakan, menyebabkan jurang pencen menjadi lebih besar,
“Tetapi hari ini saya ingin menarik balik ucapan terima kasih tersebut. Saya hendak tarik balik ucapan yang telah dikelirukan oleh Menteri Pertahanan,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah diraja di Dewan Rakyat, pada Selasa.
Pada 7 November lalu, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyatakan pelarasan pencen kepada veteran ATM sebanyak 15 peratus akan dilaksanakan secara berfasa mulai Disember 2024.
Menurutnya, pelarasan ini adalah seiring dengan pelaksanaan SSPA.
“Sekalipun kes masih belum diputuskan oleh Mahkamah Rayuan, susulan pelaksanaan SSPA yang diumumkan oleh kerajaan kepada penjawat awam yang sedang berkhidmat, termasuk perkhidmatan ATM, penyelarasan pencen kepada semua pesara, termasuk veteran ATM juga akan dilaksanakan,
“Ini bermakna, bagi veteran yang bersara sebelum Januari 2013, pelarasan pencen fasa pertama akan dilaksanakan pada Disember 2024, berdasarkan gaji akhir yang bersamaan pada tahun 2012,” kata Khaled semasa Perbahasan Pengulungan Belanjawan 2025 untuk Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat.
Mengulas lanjut, Datuk Khlir berkata, seramai 78,546 veteran ATM yang layak menerima pelarasan pencen telah menunggu lebih 12 tahun untuk hak mereka diselaraskan mengikut Perlembagaan Persekutuan dan Akta Angkatan Tentera 1972. Namun, isu ini masih berlarutan tanpa penyelesaian yang jelas.
“Ramai daripada mereka telah meninggal dunia dalam penantian. Apabila hak mereka dinafikan dan mereka terpaksa menunggu 3 bulan lagi bagi keputusan Mahkamah Rayuan, ini amat mengecewakan,” tegasnya lagi.
Dalam masa yang sama, Khlir turut memaklumkan bahawa ramai veteran ATM yang terkesan telah berhimpun di hadapan Istana Kehakiman pada 21 Januari lalu bagi memberi sokongan kepada kes pelarasan pencen di Mahkamah Rayuan.
Namun, mereka sekali lagi kecewa apabila keputusan tidak diumumkan pada hari tersebut.
“Mereka datang dari seluruh negara dengan penuh semangat, tetapi pulang dengan kehampaan. Tuntutan pelarasan pencen ini bukan ihsan kerajaan, tetapi hak mereka berdasarkan undang-undang,
“Pelanggaran hak ini adalah satu bentuk penindasan terhadap veteran yang telah berjuang mempertahankan negara semasa darurat dan menentang Parti Komunis Malaya,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau merayu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk campur tangan segera dalam menyelesaikan isu ini, yang telah berlarutan sejak 2013.
Beliau percaya Perdana Menteri mampu menangani masalah ini, mungkin disebabkan kurang komunikasi antara kementerian yang terlibat.
“Saya mewakili veteran ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2013 merayu agar Perdana Menteri menyelesaikan isu ini segera. Ingatlah jasa dan pengorbanan mereka yang amat besar kepada bangsa, agama, dan negara,” ujarnya.-airtimes.my
#pertahanan #veteranATM #JHEVATM #pesara #Mindef #Malaysia #airtimes
Berita penuh: