IRAN, 27 JAN – Iran buat pertama kali secara rasmi mengesahkan pengambilalihan pesawat pejuang Sukhoi-35 (Su-35) buatan Rusia, menurut kenyataan komander kanan Pengawal Revolusi Iran, pada Isnin.
Timbalan Koordinator Ibu Pejabat Pusat Khatam-ol-Anbia Ali Shadmani berkata, pembelian tersebut bertujuan memperkukuhkan kekuatan tentera udara Iran yang sebelum ini bergantung kepada aset usang.
“Pejuang Su-35 telah diperolehi. Pada bila-bila masa kami perlu, kami membuat pembelian ketenteraan untuk mengukuhkan tentera udara, darat, dan tentera laut. Pengeluaran peralatan ketenteraan juga telah dipercepatkan,
“Jika musuh (Israel) bertindak bodoh, ia akan merasai rasa pahit terkena peluru berpandu kami dan tidak ada kepentingannya di wilayah yang diduduki akan kekal selamat,” lapor Reuters, dipetik dari Student News Network (SNN).
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan jumlah keseluruhan jet pejuang yang dibeli atau sama ada ia telah mula dihantar ke Iran.

Sukhoi SU-35 varian Flanker E, buatan Rusia (Foto: Hiasan)
Pada November 2023 lalu, agensi berita Tasnim melaporkan bahawa Tehran telah memuktamadkan perjanjian untuk membeli jet pejuang Rusia.
Perolehan ini bukan sahaja menamatkan kemarau 44 tahun perolehan aset ketenteraan baru buat Iran sejak sekatan (embargo) senjata yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) malah menandakan usaha negara berkenaan untuk memperbaharui armada tentera udaranya.
Difahamkan, ketika ini hanya memiliki beberapa dozen pesawat penyerang, termasuk model Rusia dan pesawat lama buatan A.S. yang diperoleh sebelum Revolusi Islam 1979.
Susulan itu, perolehan Su-35 ini sudah pasti akan meningkatkan kemampuan negara itu setelah sekian lama terpaksa bergantung dengan aset yang tidak diganti dan diselenggara dengan baik akibat sekatan ketenteraan antarabangsa.
Su-35, salah satu pesawat pejuang generasi keempat yang tercanggih, dilengkapi dengan radar Irbis-E yang berkuasa dan pelbagai sistem tindakan balas elektronik, menjadikannya ancaman besar dalam pertempuran udara moden.
Pesawat ini mampu membawa dan mengoperasikan pelbagai jenis peluru berpandu udara-ke-udara dan udara-ke-darat, menjadikannya aset berbilang peranan untuk Tentera Udara Iran.

F-14A Tomcat Iran (Foto Hiasan)
Armada lama dan penggantian Sukhoi-35
Airtimes sebelum ini melaporkan, Tentera udara Iran selama ini bergantung kepada pesawat-pesawat lama yang terdiri daripada model era Perang Dingin.
Armada semasa Iran merangkumi jet MiG-29 buatan Rusia, beberapa jet tempur buatan China seperti Chengdu J-7 dan pesawat F-4 Phantom II, F-5 Tiger II, serta F-14A Tomcat buatan Amerika Syarikat yang diperoleh daripada legasi pemerintahan Shah Mohammad Reza Pahlavi.
Menurut penganalisis ketenteraan, pembelian Su-35 ini akan menggantikan pesawat-pesawat lama yang kini sudah uzur dan menghadapi cabaran penyelenggaraan, khususnya jet F-14 Tomcat yang merupakan antara aset paling maju dalam inventori Iran tetapi semakin ketinggalan zaman.
Sebelum perolehan Sukhoi-35, aset tempur terkini Iran ialah MiG-29 Fulcrum yang mula digunakan pada awal 1990-an. Meskipun, MiG-29 memiliki kemampuan yang baik ketika diperkenalkan, jet ini kini ketinggalan berbanding pesawat tempur moden yang digunakan oleh musuh-musuh Iran di Timur Tengah.
Pengenalan Sukhoi-35 di Iran
Dalam perkembangan sama, Flagrevue melaporkan, dua pesawat pejuang Su-35SE pertama telah dihantar pada penghujung tahun lalu sebagai sebahagian daripada perjanjian yang lebih besar, melibatkan 25 pesawat.
Walau bagaimanapun, jumlah ini kemudiannya ditambah kepada 50 buah, iaitu sekali ganda dari pelan perolehan asal. Pemerhati ketenteraan melihat situasi ini mungkin sebagai tindak balas kepada ketegangan yang semakin memuncak di rantau ini.
Jika penghantaran berjalan lancar, Su-35 dijangka mula digunakan oleh Tentera Udara Iran dalam masa terdekat dan dihantar di dalam tempoh bulan-bulan dan tahun mendatang. -airtimes.my
#AsetKetenteraan #PertahananDanKeselamatan #Su-35 #Sukhoi35