Home SemasaGlobal Iran tamatkan 30 tahun kemarau jet pejuang baharu, bakal terima Su-35 Mac ini

Iran tamatkan 30 tahun kemarau jet pejuang baharu, bakal terima Su-35 Mac ini

by M.Daim

TEHRAN, 16 Jan – Iran dijangka akan mula menerima sejumlah pejuang Sukhoi Su-35 daripada Rusia pada akhir Mac tahun ini.

Negara timur tengah itu sebelum ini dilaporkan akan menerima sejumlah aset ketenteraan dari Rusia sebagai timbal balas kerjasama diberikan oleh Tehran kepada Moskow untuk menjual dron kamikaze Shahed dalam peperangan di Ukraine.

Perolehan jet pejuang generasi ke-4 dari Rusia itu telah disahkan oleh Ahli Parlimen Iran yang dipetik oleh laporan media negara itu pada Ahad.

Sukhoi Su-35 merupakan antara derivatif rekaan Su-27 yang terkini keluaran Rusia. Foto: Rosoboronexport

“Iran telah memesan sejumlah jet pejuang Su-35 daripada Rusia dan pesawat baharu akan diterima mulai 21 Mac ini,” lapor media Iran yang memetik kenyataan ahli Jawatankuasa Keselamatan Negara dan Polisi Luar Negeri Parlimen Iran.

Menurutnya, Iran dijangka akan memperolehi sejumlah aset lain seperti sistem pertahanan udara, sistem misil dan helikopter.

Laporan media Iran sekaligus memberi jawapan kepada desas-desus perolehan jet pejuang Su-35 oleh Tehran selepas juruterbang tentera udara Iran dilaporkan sedang menjalani latihan mengendali pesawat tersebut di Rusia pada tahun lalu.

Iran merupakan antara negara yang mengalami sekatan perolehan persenjataan berikutan tekanan antarabangsa berhubung isu pembangunan senjata nuklear.

Rusia dilaporkan telah guna dron kamikaze Shahed keluaran Iran dalam peperangan di Ukraine.

Sekatan import persenjataan oleh Tehran telah pun tamat pada 21 Februari 2020 berdasarkan perjanjian nuklear Iran pada tahun 2015.

Iran merupakan negara yang memegang rekod untuk menerima pelbagai sekatan antarabangsa sehinggalah Perang Ukraine berlaku di mana Rusia telah dikenakan begitu banyak sekatan.

Su-35 sebagai nafas baharu keusangan jet pejuang Iran

Su-35 Flanker-E merupakan salah satu derivatif jet pejuang  Su-27 yang dibangunkan oleh syarikat pertahanan Rusia, Sukhoi.

Tentera Udara Republik Iran pada ketika ini berhadapan dengan isu keusangan jet pejuang yang ada diantaranya telah dioperasikan semenjak era 1960-an dan 1970-an.

Iran menjadi negara tunggal untuk mengoperasikan jet pejuang ikonik filem Top Gun, F-14A Tomcat.

Majoriti pesawat yang dioperasikan dari era tersebut adalah legasi daripada hubungan baik Tehran-Washington sebelum Revolusi 1979. Antara jet pejuang buatan Amerika Syarikat yang dioperasikan oleh Iran sehingga kini adalah F-4 Phantom II, F-5 Tiger II dan F-14A Tomcat.

Selain itu, Iran turut mengoperasikan  Mirage F1 (Perancis) dan Chengdu J-7 (China). Rusia dilihat sebagai negara yang dominan dalam membekalkan jet pejuang kepada Tehran melalui perolehan Su-22 dan MiG-29A pada 1990-an.

HESA Kowsar merupakan jet pejuang buatan Iran yang dibangunkan dari rekaan F-5. Foto: Twitter/Amir

Pembelian Su-35 baru-baru ini merupakan kali pertama dilakukan oleh Iran semenjak 33 tahun. Kemungkinan perolehan ini memberikan sedikit nafas kepada Iran walaupun negara itu sedang mengoperasikan 2 model jet pejuang buatan sendiri keluaran Iran Aircraft Manufacturing Industries Corporation (HESA).

Pada ketika ini, Iran mengoperasikan 6 buah Saeqeh semenjak 2006 dan 4 Kowsar semenjak 2018. Kedua-dua jet pejuang ini merupakan rekaan Iran berdasarkan jet pejuang F-5.

Perolehan Su-35 dari Rusia dijangka akan menyebabkan hubungan Tehran dengan beberapa negara kuasa besar akan menjadi lebih tegang. Ini berikutan perolehan Su-35 dan beberapa aset lain akan dilihat sebagai ‘habuan’ Moskow kepada Tehran kerana membekalkan sejumlah aset ketenteraan kepada Rusia dalam peperangan di Ukraine.

Sehingga kini, Rusia dan China merupakan negara yang mengoperasikan Su-35. Perolehan 24 buah Su-35 China yang bernilai US$2.4 bilion dilaporkan telah selesai pada sekitar tahun 2018-2019.

Su-35 dan CAATSA

Pembelian Su-35 dan undang-undang CAATSA oleh Amerika Syarikat tidak mampu dipisahkan umpama irama dan lagu.

CAATSA atau Countering America’s Adversaries Through Sanction Act merupakan rang udang-undang yang digubal semasa pemerintahan Donald Trump. Undang-undang yang berkuatkuasa semenjak 2017 ini bertujuan melaksanakan sekatan ekonomi terhadap Iran, Rusia dan Korea Utara.

Rang undang-undang ini turut memberi kuasa kepada Washington untuk mengenakan sekatan kepada mana-mana negara yang mempunyai urusan perdagangan dengan ketiga-tiga negara yang telah dinyatakan.

Perolehan Su-35 oleh Beijing menyebabkan China menjadi negara pertama dikenakan sekatan CAATSA oleh Amerika Syarikat.

China menjadi negara pertama yang menerima sekatan CAATSA pada tahun 2018 berikutan perolehan Su-35 daripada Rusia. Turkiye kemudiannya menerima nasib yang sama berikutan pembelian sistem pertahan udara S-400 Triumf.

Pada tahun 2019, Mesir dilaporkan akan memperolehi jet pejuang Su-35. Namun begitu, perolehan oleh Kaherah diancam dengan CAATSA oleh Washington berdasarkan kenyataan Setiausaha Amerika Syarikat pada ketika itu, Mike Pompeo.

Turkiye menjadi negara kedua dan terakhir (setakat ini) dikenakan CAATSA. Ini berikutan perolehan S-400 Triumf oleh Ankara.

Pada tahun 2020, agensi Bloomberg melaporkan Indonesia menerima tekanan daripada Washington berikutan perolehan 11 buah Su-35. Pada ketika itu, Timbalan Menteri Pertahanan Indonesia, Sakti Wahyu Trenggono menyatakan perolehan jet pejuang dari Moskow yang bernilai US$1.14 bilion tetap diteruskan.

Pada masa yang sama, Amerika Syarikat menawarkan F-35 kepada Jakarta.

Perolehan Su-35 oleh Jakarta kemudiannya sah batal selepas diumumkan oleh Kepala Staf Angkatan Udara Marsekal TNI Fadjar Prasetyo pada akhir 2021. Beliau sebelum itu menyatakan hasrat Indonesia untuk membeli jet pejuang Dassault Rafale dan F-15EX.

Kontrak perolehan 42 buah Rafale F3R/F4 untuk Indonesia telah pun dimeterai pada Februari 2022. Sementara itu, pembelian F-15EX (turut dikenali sebagai F-15ID Eagle II) sedang berada diperingkat akhir perbincangan antara Jakarta dan Washington.

Walaupun Washington mahupun Jakarta tidak menyatakan secara jelas sama ada CAATSA menjadi punca perolehan Su-35 batal, namun rang undang-undang tersebut tetap dilihat sebagai faktor utama.

Perkara ini dapat dilihat dalam perolehan helikopter oleh Filipina yang dibuat pada tahun 2022. Manila pada ketika itu telah memilih untuk membatalkan perolehan 16 buah helikopter Mil Mi-17 bernilai US$229 juta yang dimeterai pada November 2021.

Japan Times memetik kenyataan bekas Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana yang menjelaskan Manila bimbang akan dikenakan CAATSA berikutan perolehan helikopter daripada Rusia. Filipina kemudiannya memilih untuk membeli S-70 Black Hawk.

Indonesia telah meterai kontrak perolehan Rafale dari Perancis. Negara republik itu bakal menerima jet pejuang keluaran Dassault mulai tahun 2026.

Walaupun diasak hebat dengan sekatan, perolehan Su-35 oleh Iran dijangka akan memberikan sedikit kelegaan kepada ekonomi Rusia yang terjejas akibat konflik di Ukraine.

Untuk Iran, mereka tidak perlu bimbang untuk berhadapan sekatan kerana – pertama, mereka telah pun dilihat sebagai ‘seasoned’ dalam isu ini dan yang kedua, CAATSA adalah rang undang-undang yang telah pun ditujukan kepada mereka semenjak ia digubal.

Pun begitu, apa yang berlaku di beberapa buah negara yang berhasrat dan mahupun telah melakukan perolehan aset ketenteraan dari Rusia wajar dijadikan sebagai peringatan kepada Malaysia.

Pada ketika ini, keusangan aset sudah pun jelas dilantunkan di dada akhbar tempatan dan elektronik. Dalam mendepani cabaran sebegini, Kementerian Pertahanan Malaysia dan Putrajaya sudah tentu mempunyai strategi dan gerak tersendiri dalam mengimbangi geopolitik serta keselamatan negara. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply