PARIS, 24 SEPT – Dassault Aviation merasmikan pembukaan kilang baharu di Cergy, Perancis. Pembukaan kilang ini sekali gus meningkatkan kapasiti pemasangan pesawat tempur Rafale dan jet eksekutif Falcon.
Fasiliti berkeluasan lebih 110,000 meter persegi ini mula beroperasi sejak Julai 2024 dan menggantikan kilang lama di Argenteuil.
Ia menjadi tapak pengeluaran pertama yang dibangunkan Dassault sejak tahun 1970-an.
Kilang baharu itu menempatkan lebih 600 jurutera, juruteknik dan pekerja mahir yang dipindahkan dari Argenteuil.
Aktiviti utama meliputi pemasangan panel badan pesawat Rafale dan Falcon, pemasangan fiuslaj hadapan, kerja outfitting fiuslaj Rafale termasuk sistem elektrik, bahan api, hidraulik, udara serta gear pendaratan.

Permintaan tinggi terhadap pesawat tempur Rafale dan jet eksklusif Falcon, antara faktor pembinaan kilang baharu yang lebih besar. (FOTO : DASSAULT AVIATION)
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Dassault Aviation, Eric Trappier, pembukaan kilang Cergy melambangkan komitmen syarikat terhadap kedaulatan industri Perancis serta penciptaan pekerjaan baharu.
“Fasiliti ini bukan sahaja memastikan kelangsungan kapasiti industri, tetapi juga menyokong pertumbuhan permintaan Rafale di pasaran antarabangsa,” katanya.
Selain memperkukuh kapasiti, Cergy turut menampilkan ciri hijau dengan panel solar di bumbung, sistem pengudaraan inovatif dan pencahayaan pintar bagi mengurangkan penggunaan tenaga.
Dassault kini sedang meningkatkan pengeluaran Rafale bagi memenuhi permintaan global, dengan Perancis dan beberapa negara lain. Ini termasuk India, Mesir, Indonesia serta Qatar merupakan pelanggan utama pesawat tempur tersebut. – airtimes.my
#airtimes #Pertahanan #DassaultAviation #Rafale #IndustriPertahanan #pesawattempur








