Home SemasaRCI Batu Puteh: Anwar dan 3 menteri berbohong, seleweng laporan – Peguam Tun Mahathir

RCI Batu Puteh: Anwar dan 3 menteri berbohong, seleweng laporan – Peguam Tun Mahathir

by Nurulhuda
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 18 Dis – Beberapa laporan polis telah dibuat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan 3 anggota kabinet Dr Mahathir Mohamad susulan dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kes Batu Puteh.

Peguam Dr Mahathir, Rafique Rashid Ali berkata, laporan tersebut telah dibuat oleh Wan Muhammad Azri Wan Deris dan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan secara berasingan.

Menurutnya, laporan itu bertujuan menangani dakwaan salah urus dan kenyataan mengelirukan berkaitan penemuan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan berhubung kes itu.

“Difahamkan, lebih banyak laporan polis akan dibuat dalam beberapa hari akan datang di Sungai Petani, Kedah dan negeri lain,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Rafique berkata, laporan dibuat terhadap Perdana Menteri, bekas Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook dan bekas Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Beliau berkata, laporan terhadap Anwar adalah berdasarkan kenyataan Perdana Menteri itu pada 6 Disember yang melabel mereka yang terlibat dalam kes Batu Puteh sebagai ‘pengkhianat’ walaupun tiada dalam mana-mana bahagian laporan RCI menyatakan sebegitu rupa.

“Tindakan ini adalah cubaan menipu dan menyeleweng Laporan RCI serta membuat tuduhan palsu secara sengaja untuk menimbulkan ketakutan dan kegentaran pada orang awam serta ketenteraman awam,” ujarnya.

Menurut peguam itu lagi, laporan berkenaan menamakan Dr Wan Azizah Wan Ismail, Mohamad Sabu dan Anthony Loke yang berkhidmat dalam kabinet Mahathir ketika keputusan menarik balik permohonan semakan tersebut dibuat kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Ujarnya, ketika keputusan itu dibuat, ketiga-tiga pemimpin utama PH berkenaan bersetuju secara kolektif namun selepas 6 tahun berlalu mereka didakwanya mengubah pendirian menampakkan unsur-unsur penipuan serta pembohongan.

Rafique berkata, Apandi pada ketika itu mengetuai pasukan Malaysia didapati melakukan tindakan tidak wajar selaku Peguam Negara.

“Apandi didapati kelakuan serta tindakan-tindakan yang tidak wajar oleh RCI, antara lainnya tidak melibatkan pihak-pihak lain atau agensi – agensi lain serta isu-isu yang menimbul persoalan tentang kos dan wang rakyat,” jelasnya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pengadu percaya individu dinamakan dalam laporan itu melanggar Seksyen 415(b), 504 dan 505(b) Kanun Keseksaan.

“Pengadu berharap polis akan menyiasat laporan ini secara adil dan saksama, tanpa berat sebelah serta menjalankan tanggungjawab mereka dengan telus, termasuk memanggil individu dinamakan untuk disoal siasat,” ujarnya.

Laporan RCI yang dikeluarkan awal bulan ini berkata, Tun Mahathir telah menipu Kerajaan Malaysia yang terdiri daripada ahli-ahli Jemaah Menteri dan telah menyebabkan mereka membuat keputusan untuk tidak meneruskan kedua-dua permohonan tersebut.

Menurutnya RCI, Tun Mahathir telah menipu Jemaah Menteri dan dengan sengaja untuk tidak meneruskan Permohonan Semakan serta Permohonan Tafsiran (Request for Interpretation).

Sejak dari itu, Tun Mahathir menolak dakwaaan bahawa beliau mengkhianati negara sehingga menyebabkan Malaysia kehilangan Batu Puteh.-airtimes.my

#semasa #batuputeh #malaysia #singapura #airtimes

 

Related Articles

Leave a Reply