Home Semasa RCI Batu Puteh: Suruhanjaya syor laporan polis, siasatan jenayah terhadap Tun M

RCI Batu Puteh: Suruhanjaya syor laporan polis, siasatan jenayah terhadap Tun M

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 5 DIS – Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Batu Puteh mengemukakan syor untuk tindakan laporan polis dibuat terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ini bagi membolehkan siasatan jenayah dilakukan terhadap beliau berikutan keputusan kerajaan untuk menarik balik permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada tahun 2018 lalu.

Syor tersebut dikemukakan oleh pihak Suruhanjaya dalam satu laporan setebal 238 muka surat yang dibentangkan ke Parlimen, hari ini.

“Suruhanjaya mencadangkan agar satu laporan polis dibuat oleh Setiausaha Suruhanjaya bagi membolehkan satu siasatan jenayah dimulakan terhadap Tun Dr. Mahathir atas kesalahan-kesalahan di bawah seksyen 415(b) dan seksyen 418 Kanun Keseksaan,” kata laporan itu.

Menurutnya, Tun M telah menipu Jemaah Menteri dan dengan sengaja untuk tidak meneruskan Permohonan Semakan serta Permohonan Tafsiran (Request for Interpretation).

“Keputusan tersebut telah dibuat secara sepihak oleh Tun Dr. Mahathir tanpa kelulusan Jemaah Menteri,

“Sekiranya Jemaah Menteri dibekalkan dengan kertas kuasa tindakan di ICJ dan pandangan bertulis daripada perunding antarabangsa, Jemaah Menteri berkemungkinan mempunyai pandangan yang berbeza berkenaan kedua-dua permohonan tersebut,” kata laporan yang telah dipersembahkan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 12 Ogos 2024 lalu.

Laporan itu menambah, Tun M berkemungkinan telah dengan sengaja mendorong Jemaah Menteri untuk tidak meneruskan kedua-dua permohonan tersebut walaupun ianya bertentangan dengan pendapat perunding antarabangsa yang menyatakan bahawa terdapat asas permohonan tersebut mempunyai kebarangkalian untuk berjaya.

“Suruhanjaya berpendapat bahawa terdapat asas untuk satu siasatan jenayah dimulakan terhadap Tun Dr. Mahathir,

“Oleh yang demikian, Suruhanjaya mencadangkan agar satu siasatan jenayah dimulakan terhadap Tun Dr. Mahathir atas kesalahan di bawah peruntukan seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen 417 Kanun yang sama,” katanya.

Pihak Suruhanjaya turut berpendapat bahawa Tun Dr Mahathir telah menipu Kerajaan Malaysia yang terdiri daripada ahli-ahli Jemaah Menteri dan telah menyebabkan mereka membuat keputusan untuk tidak meneruskan kedua-dua permohonan tersebut.

“Penipuan yang dilakukan oleh Tun Dr. Mahathir adalah berhubung kait dengan pelaksanaan fungsi-fungsi tanggungjawab beliau yang mana beliau mempunyai obligasi secara undang-undang untuk melindungi kepentingan Malaysia,

“Sebagai Perdana Menteri, beliau adalah bertanggungjawab terhadap negara dan hendaklah pada setiap masa memelihara, melindungi serta mempertahankan kepentingan dan kedaulatannya,

“Dengan membuat keputusan untuk tidak meneruskan kedua-dua permohonan tersebut, Tun Dr. Mahathir telah menyebabkan kerugian salah (wrongful loss) kepada Kerajaan Malaysia,

“Suruhanjaya juga berpendapat bahawa terdapat asas untuk satu siasatan jenayah dijalankan terhadap Tun Dr. Mahathir atas kesalahan di bawah peruntukan seksyen 418 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Dalam laporan yang sama, 2 pesuruhjaya, Tan Sri Datuk Zainun Ali (Timbalan Pengerusi Suruhanjaya) dan  Datin Prof. Dr. Faridah Jalil (Ahli Suruhanjaya) berpendapat tindakan bekas Perdana Menteri itu sebagai satu pengabaian tugas.

Selain itu, pihak Suruhanjaya mendapati kerajaan Johor tidak  dilibatkan dalam Permohonan Semakan serta Tafsiran Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

“Tindakan untuk tidak meneruskan kedua-dua permohonan tersebut juga telah dibuat tanpa melibatkan Kerajaan Negeri Johor,

“Keputusan tersebut telah menyebabkan Kerajaan Negeri Johor kehilangan peluang untuk mendapatkan kembali wilayah jajahannya,” kata laporan itu.

Pada 23 Mei 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan bahawa Singapura mempunyai hak ke atas Batu Puteh, manakala Batuan Tengah, yang terletak kurang daripada satu kilometer dari pulau tersebut, adalah milik Malaysia.

Selain itu, ICJ turut memutuskan bahawa pemilikan Tubir Selatan, yang berada kira-kira empat kilometer dari Batu Puteh, akan ditentukan berdasarkan persempadanan perairan negara yang menguasai kawasan itu.

Pada 2 Februari 2017, Malaysia telah memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan ICJ bertarikh 23 Mei 2008.

Namun begitu, pada Mei 2018, Kerajaan Pakatan Harapan yang dipimpin Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad menarik balik permohonan untuk  semakan dan pentafsiran penghakiman berhubung kes kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan. Penarikan balik dibuat hanya dua minggu sebelum kes itu dijadualkan didengar pada 11 Jun 2018.

Pada tahun 2018, Malaysia telah menarik balik permohonan untuk  semakan dan pentafsiran penghakiman berhubung kes kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan

3 tahun selepas penarikan balik Permohonan Semakan dan Permohonan Tafsiran ditarik balik, isu mengenai Pulau Batu Puteh telah dibangkitkan semula dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

Pada 22 Disember 2021, Pihak Jemaah Menteri telah bersetuju untuk menubuhkan Pasukan Petugas Khas bagi menyemak semula undang-undang berkenaan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dan mengesyorkan opsyen-opsyen terbaik mengenai hala tuju Kerajaan dalam isu tersebut.

Namun begitu, PPK mengalami beberapa cabaran dan halangan terutamanya tidak mempunyai kuasa untuk memanggil saksi-saksi dan mendapatkan dokumen-dokumen seperti yang boleh dilakukan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja.

Lantaran dari kekangan tersebut, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Januari 2024 telah bersetuju untuk Kerajaan menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah Dan Tubir Selatan.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah berkenan melantik dan mentauliahkan 7 orang pesuruhjaya dalam RCI ini.

Baginda turut menetapkan tempoh kuatkuasa RCI bermula 14 Februari 2024 hingga 13 Ogos 2024.

Laporan penuh RCI telah dipersembahkan kepada Sultan Ibrahim di Istana Negara pada 12 Ogos 2024 lalu. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Semasa #BatuPuteh #TubirSelatan #BatuanTengah

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!