KUALA LUMPUR, 16 Dis – Kerajaan hanya menanggung kos elaun perjalanan pergi dan balik bagi peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang akan bermula Januari tahun hadapan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebaliknya berkata, kerajaan tiada perancangan untuk menambah kadar elaun bagi peserta program tersebut.
Namun, beliau tidak memaklumkan kadar elaun perjalanan akan dibayar kepada mereka.
“Elaun setiap hari itu memang kerajaan tidak ada perbincangan dan tidak ada persetujuan,
“Yang sebenarnya elaun yang kerajaan sedia untuk tampung ialah elaun tuntutan perjalanan dan tidak kepada elaun setiap hari pada mereka yang mengikuti latihan PLKN ini,” katanya dalam sidang media di Parlimen.
Semalam, Kementerian Pertahanan (MINDEF) dilaporkan mengekalkan kadar elaun RM8 sehari kepada peserta PLKN 3.0 yang akan bermula Januari ini.
Menteri Pertahanan dilaporkan berkata, setakat ini belum ada keperluan untuk menaikkan kadar elaun berkenaan.
Sementara itu, Khaled berkata secara purata kerajaan membelanjakan RM64 sehari bagi seorang peserta PLKN 3.0 untuk makan, minum, penginapan dan segala keperluan mereka.
Jumlah tersebut termasuk dalam bajet keseluruhan RM50 juta yang telah diluluskan untuk melaksanakan PLKN 3.0 di bawah Bajet 2025.
Latihan percubaan untuk siri pertama
PLKN 3.0 siri pertama, yang merupakan tempoh percubaan, akan melibatkan 200 peserta daripada 564 permohonan yang diterima secara sukarela. Program ini akan berlangsung dari 12 Januari hingga 25 Februari 2025.
“Siri pertama ini penting untuk menilai keberkesanan ekosistem latihan dan aspek pengurusan sebelum ia diperluas pada siri-siri seterusnya,” jelas Menteri.
Kawalan kos dan fokus keselamatan
Selain menekankan perbelanjaan yang terkawal, Mohamed Khaled juga memberi jaminan bahawa kerajaan telah mengambil langkah untuk memastikan keselamatan peserta, termasuk menempatkan 32 warden di setiap kem serta pemasangan CCTV bagi memantau aktiviti.
Beliau turut menjelaskan, perbezaan struktur peserta PLKN 3.0 berbanding program terdahulu mengurangkan risiko kes buli.
“Tiada peserta senior atau junior dalam kumpulan ini, kerana mereka semua akan mula pada masa yang sama,” katanya lagi. -airtimes.my
#pertahanan #PLKN #Malaysia #airtimes #elaun #khidmatnegara