KUALA LUMPUR, 16 Dis – Malaysia dan Thailand sependapat bahawa isu berkaitan Laut China Selatan perlu ditangani secara aman dan konstruktif, dengan menghormati prinsip undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, bahawa kedua-dua negara bersetuju untuk mempercepatkan pelaksanaan penuh Deklarasi Kod Tatalaku (DOC) di Laut China Selatan dan merumuskan Kod Tatakelakuan (COC) yang efektif serta substantif.
Menurutnya, kedua-dua negara mahu supaya isu di Laut China Selatan ditangani secara aman dan konstruktif, selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf secara universal, termasuk UNCLOS 1982.
“Apa yang juga penting ialah pendirian kami berhubung Myanmar. Walaupun kami komited untuk melaksanakan sepenuhnya Konsensus Lima Perkara (5PC),
“Kami mengambil langkah melalui dialog secara tidak rasmi di pelbagai berbeza untuk memastikan Myanmar mengambil bahagian, dan membawa semula Myanmar merapatkan barisan dalam ASEAN,” katanya pada sidang media bersama rakan sejawatannya dari Thailand Paetongtarn Shinawatra, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar turut mengucapkan terima kasih kepada Paetongtarn atas sokongan yang tidak berbelah bagi beliau untuk Kepengerusian ASEAN Malaysia pada 2025.
Sementara itu, Kementerian Luar (Wisma Putra) memaklumkan, Thailand turut menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Malaysia dalam menangani situasi di Myanmar sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025.
Wisma Putra memaklumkan, Thailand menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi untuk Kepengerusian ASEAN Malaysia pada 2025 dan komitmen untuk bekerjasama rapat dengan Malaysia, khususnya dalam agenda kemampanan.
“Kedua-dua pemimpin mengesahkan sokongan mereka terhadap kerjasama dan inisiatif tenaga sedia ada yang menjadi teras kepada visi bersama mengenai masa depan tenaga yang lebih bersepadu, mampan dan terjamin untuk rantau ini, termasuk di bawah Inisiatif Grid Kuasa ASEAN,” jelasnya dalam kenyataan bersama dengan Kementerian Luar Thailand.
#semasa #Malaysia #Thailand #Anwar #lautChinaSelatan
