Home Pertahanan dan Keselamatan 6 warga Filipina ditahan cuba seludup 10,375 liter minyak petrol di Pulau Bum Bum

6 warga Filipina ditahan cuba seludup 10,375 liter minyak petrol di Pulau Bum Bum

A+A-
Reset

SEMPORNA, 17 Dis – Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) telah menggagalkan cubaan 6 lelaki warga Filipina menyeludup keluar 10,375 liter minyak petrol melalui kawasan perairan Pulau Bum Bum, pada Sabtu lalu.

Dalam kejadian 8.50 malam itu, suspek masing-masing menggunakan 2 bot jongkong dikesan oleh Pasukan Quick Reaction Force (QRF) dari 11 Rejimen Gerak Khas (RGK), sebelum ditahan untuk tujuan pemeriksaan.

Panglima ATB 2, Brigedier Jeneral Wan Edenin Wan Mahsin berkata, pemeriksaan awal ke atas dua bot jongkong terbabit mendapati 6 awak-awak masing-masing berumur antara 20 hingga 40 tahun itu tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah.

“Pemeriksaan lanjut mendapati sebanyak 10,375 liter minyak petrol yang diisi di dalam 415 bekas tong plastik dengan setiap satunya berkapasiti 25 liter selain satu unit tong gas cecair petroleum (LPG),

“Semua barang kawalan itu dipercayai cuba diseludup keluar untuk dijual di negara jiran,” jelas MK ATB 2 dalam kenyataan, malam tadi.

Wan Edenin berkata, nilai keseluruhan barang rampasan termasuk bot bersama 4 unit enjin sangkut keseluruhan dianggarkan berjumlah RM79,268.75.

“Semua suspek bersama barang rampasan dibawa Jeti Kem Azumi sebelum diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Semporna untuk tindakan lanjut,

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” jelas kenyataan itu lagi.-airtimes.my

#MKATB2 #Semporna #keselamatan #airtimes #seludup #Sabah

Leave a Reply