KYIV, 16 DIS – Industri pertahanan Ukraine mula menghasilkan raifal BREN 2 secara berlesen di negara Eropah Timur itu semenjak November lalu.
Perkara tersebut dinyatakan oleh pihak UKROBORONPROM dalam satu kenyataan.
Menurutnya, penghasilan raifal tersebut menandakan kesinambungan kerjasama dengan syarikat pengeluar BREN 2, Česká zbrojovka (CZ) yang merupakan anak syarikat Colt CZ.
“Kerjasama dengan rakan dari Czech akan membantu meningkatkan bekalan senjata api yang boleh dipercayai dan moden untuk Angkatan Pertahanan Ukraine, yang dihasilkan di negara kami,
“Selain itu, ini merupakan satu lagi langkah ke arah integrasi industri pertahanan kami ke dalam rantaian industri negara-negara NATO,” kata Oleksii Huliak, Ketua Pengarah UKROBORONPROM.
Kenyataan itu menjelaskan perjanjian dengan Česká zbrojovka, yang merangkumi pemasangan secara tempatan dan pengeluaran pada skala penuh raifal tempur standard NATO di Ukraine, telah dimeterai pada 16 Julai lalu.
CZ BREN 2 merupakan salah satu raifal tempur yang dihasilkan oleh syarikat Republik Czech, CZ. Siri Bren bermula dengan pembangunan raifal CZ 805 Bren pada tahun 2006 dan mula digunakan oleh tentera Republik Czech pada tahun 2011.
Raifal tempur modular ini menggunakan 2 jenis peluru standard NATO; 5.56mm dan 7.62mm.
Ciri-ciri modular ini membolehkan raifal tempur BREN mengisi peranan sebagai raifal tempur, karbin, dan juga designated marksman rifle (raifal marksman).
Selain Republik Czech, BREN 2 turut digunakan oleh pasukan khusus Perancis, GIGN; Pasukan Pengawal Sempadan Poland, dan beberapa ketumbukan tentera Mesir.
BREN 2 digunakan oleh anggota tentera sukarelawan asing di Ukraine semenjak 2022. – airtimes.my
#TeknologiPertahanan #Ukraine #BREN2