JOHOR, 15 DIS – Sebanyak RM2.55 juta telah disalurkan oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF) untuk Kampung Baru Pasak, Kota Tinggi, Johor melalui Program Kampung Angkat MADANI, hari ini.
Peruntukan ini bakal digunakan bagi melaksanakan 10 projek utama yang bertujuan meningkatkan taraf hidup penduduk desa melalui pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meninjau perancangan 10 projek yang bakal dilaksanakan di Kampung Baru Pasak, Kota Tinggi, Johor (Foto: MINDEF)
Menurut MINDEF, antara projek yang dilaksanakan ialah menaik taraf jalan, balai raya, dan infrastruktur seperti pintu gerbang serta papan tanda jalan, selain memasang lampu jalan solar di sekitar kampung.
”Kemudahan baharu lain termasuk pembinaan surau baharu, dua unit pusat komuniti, serta membaik pulih gelanggang serba guna dan rumah penduduk.
”Manakala, projek tambahan seperti tanaman cendawan juga dilaksanakan dengan dana tambahan 50 ribu.” jelas MINDEF dalam satu kenyataan.

Sebanyak 50,000 dana tambahan telah diperuntukan bagi mengembangkan projek tanaman cendawan (Foto: MINDEF)
Mengulas lanjut, pemilihan Kampung Baru Pasak sebagai Kampung Angkat MADANI dibuat berdasarkan kemudahan asas di kawasan tersebut yang masih di bawah 50 peratus.
Penempatan ini juga dihuni oleh 152 isi rumah dengan lebih 600 penduduk yang kebanyakannya bergantung kepada pekerjaan sebagai pekebun kecil, nelayan dan buruh.
Projek ini bakal dilaksanakan dengan menggunakan khidmat kontraktor tempatan dan diselia oleh pelbagai agensi termasuk MINDEF, ATM, Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), Pejabat Daerah Kota Tinggi, serta Jabatan Kerja Raya Kota Tinggi.
Terdahulu, majlis Perasmian dan Penyerahan Projek telah disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Gelanggang Baharu Kampung Baru Pasak.

Mohamed Khaled Nordin (kanan) menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada salah seorang penduduk kampung (kiri) (Foto: MINDEF)
Dalam perkembangan sama, melalui program berkenaan, MINDEF turut menyalurkan bantuan komuniti seperti baik pulih rumah veteran ATM, sumbangan bakul makanan, bantuan persekolahan, dan bantuan kebajikan lain kepada penduduk setempat.
Sepanjang program juga, sebuah karnival mini turut diadakan dengan penglibatan lebih 250 penduduk kampung.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk pertukaran 200 unit topi keledar percuma, pertandingan mewarna, permainan tradisional seperti Batu Seremban dan Boling Kelapa, serta pemeriksaan kesihatan dan pergigian yang disediakan oleh ATM.
Selain itu, MINDEF memaklumkan, kerajaan telah menyalurkan peruntukan nasional sebanyak RM100 juta untuk Program Kampung Angkat MADANI dalam Belanjawan 2024, dengan setiap kampung menerima peruntukan maksimum RM2.5 juta.
Manakala, tambahan dana sebanyak RM50,000 berjaya disalurkan bagi projek tanaman cendawan. -airtimes.my
#MINDEF #AirTimes #Malaysia #NaikTaraf #KhaledNordin
