Home Diskusi Kolumnis: 15 tahun selepas kebakaran besar KD Sri Inderapura, TLDM masih menunggu kapal pengganti

Kolumnis: 15 tahun selepas kebakaran besar KD Sri Inderapura, TLDM masih menunggu kapal pengganti

by Zaki Salleh

KD Sri Inderapura, kapal pendarat terbesar Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kini cuma tinggal nama yang suatu masa dahulu pernah menjadi kebanggaan armada tersebut.

Kapal seberat 8,450 tan ini juga menjadi satu-satunya kapal TLDM yang dilucutkan tauliah setelah musnah dalam kebakaran akibat tidak ekonomi untuk dibaiki.

Pada tanggal 15 Disember 2002, iaitu 22 tahun lalu, KD Sri Inderapura terbakar ketika kapal tersebut berlabuh di Lumut.

Bahagian jambatan dan dek kapal KD Sri Inderapura telah rosak dalam kebakaran tersebut.

Api yang marak daripada bahagian dapur merebak ke penginapan pegawai dan bintara yang turut merosakkan anjungan kapal.

Tujuh tahun kemudian berlaku insiden kebakaran kedua pada 8 Oktober 2009 juga semasa kapal berlabuh di jeti Pangkalan TLDM Lumut.

Kebakaran pada kapal KD SRI INDERAPURA pada tahun 2009 telah memberikan kesan yang mendalam kepada kekuatan logistik TLDM.

Asap memenuhi ruang pangkalan itu dan dapat dilihat dari jauh, malah operasi pemadaman turut menggunakan khidmat pesawat Bombardier CL 415 MPAPM.

Setahun kemudian kerajaan memutuskan KD Sri Inderapura dilucutkan tauliah.

Ini kerana kerosakan pada kapal tersebut adalah jauh lebih besar berbanding kejadian pada 2002. Semasa kejadian pertama, kos membaiki KD Seri Inderapura menelan RM68 juta.

KD Sri Inderapura dibina pada 1970 merupakan bekas kapal Tentera Laut Amerika Syarikat selepas ditauliahkan sebagai USS Spartanburg County.

Spartanburg County pernah terlibat di dalam beberapa konflik utama dunia seperti Operasi Desert Shield dan Desert Storm semasa Perang Teluk.

Pada Disember 1994, kerajaan Malaysia menandatangani perjanjian membeli kapal tersebut dalam usaha melengkapkan TLDM dengan kapal sokongan logistik lebih besar berbanding sedia ada.

Pembelian kapal kelas Newport ini walaupun telah berusia 25 tahun tetapi amat berbaloi selain kerap dijadikan kapal induk semasa latihan dan operasi.

Kapal ini pernah terlibat dalam Operasi Fajar di Teluk Aden, Somalia iaitu operasi antilanun pada tahun 2008.

Dengan berakhirnya hayat KD Sri Inderapura, Angkatan Tentera Malaysia ketiadaan kapal sokongan logistik besar yang mana aset ini merupakan kritikal untuk dimiliki.

Setelah ketiadaan KD Sri Inderapura, TLDM terpaksa bergantung pada dua kapal logistik yang meniti usia senja, KD Sri Indera Sakti dan KD Mahawangsa.

Sejak ketiadaan kapal logistik terbesar yang digunakan dalam pelbagai misi dan operasi melangkaui sempadan perairan negara, armada TLDM separuh lumpuh disebabkan tiada kapal pengganti.

Sebenarnya, rancangan TLDM untuk mendapatkan kapal sokongan pelbagai peranan atau Multi Role Support Ship (MRSS) telah ada sejak akhir dekad 90an iaitu sebelum musibah berlaku pada KD Sri Inderapura.

Beberapa model kapal MRSS sedia ada pada waktu telah pun diteliti, malah beberapa negara ada menghantar kapal buatan masing-masing ke sini untuk dipertontonkan.

Mengapa kapal MRSS perlu? Sebagai negara maritim selain mempunyai dua wilayah, maka kapal jenis ini merupakan aset penting selain bagi tujuan logistik.

Malangnya, hasrat tersebut terpaksa ditangguh atas pelbagai sebab termasuk kekangan kewangan.

Ini termasuklah tawaran dari firma negara jiran, PT PAL Indonesia yang mengetengahkan rekaan MRSS kelas Makassar sejak lima tahun lalu.

Disifatkan sebagai calon terbaik, kelas Makassar telah memasuki pasaran eksport apabila dipilih tentera Laut Filipina.

Malangnya, sehingga kini belum ada sebarang kata putus walaupun TLDM telah meletakkan MRSS sebagai aset yang diperlukan bagi perolehan akan datang.

Walaupun setelah 22 tahun insiden KD Sri Inderapura terbakar, baranya seolah-olah masih ada selagi gelaran kapal terbesar dalam armada TLDM belum ada pengganti.

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?