KUALA LUMPUR, 4 Dis – Tentera Darat Malaysia (TDM) menggerakkan 7 Tim Mencari dan Menyelamat (SAR) untuk mengesan seorang anggotanya yang masih hilang ketika melaksanakan rondaan berhampiran Sungai Merah,di Permatang, sempadan Malaysia-Thailand.
Sel Perhubungan Raya, Markas Tentera Darat Malaysia berkata, anggota yang hilang ialah Lans Koperal (LKpl) Ahmad Zulhilmi Ahmad Tamizi dari pasukan 22 Komando, Kem Iskandar, Mersing.
Beliau merupakan salah seorang daripada 2 anggota yang dihanyutkan arus semasa melaksanakan rondaan dalam Operasi KOTA, ECHO, FOXTROT Siri 6/2024 di kawasan Banding, Perak pada Sabtu lalu.
Bagaimanapun, seorang daripada mereka, 1204045 LKpl Mohd Afandi Jahwin dari dari pasukan 21 Komando, Kem Sungai Udang, Melaka ditemukan meninggal dunia pada 1 Disember kira-kira 3 kilometer dari lokasi markas operasi.
Sehubungan itu TDM memaklumkan, 7 Tim SAR terdiri 5 pegawai dan 112 anggota telah diaturgerakkan bagi mencari dan menyelamat Lans Koperal Ahmad Zulhilmi.
“Tujuh Tim SAR diaturgerak melibatkan anggota dari pasukan 2 Rejimen Renjer Diraja (2RRD), Batalion ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (23 RAMD) dan 22 Komando, bermula dari tempat kejadian di Sungai Merah menyusuri sepanjang Sungai Perak,” jelas TDM dalam pada Selasa.
TDM memaklumkan, ketika kejadian, kedua-dua mangsa bersama 7 anggota lain dipercayai telah dibawa arus dalam kejadian Kepala Air semasa melaksanakan rondaan dalam Operasi KOTA, ECHO, FOXTROT Siri 6/2024 di Banding, Perak.
Manakala, 7 lagi anggota telah ditemukan selamat sekitar jam 1230 pada hari yang sama.
“Operasi KOTA, ECHO, FOXTROT adalah satu operasi pengawasan dan pemantauan keselamatan sempadan yang dijalankan di kawasan Banding Perak, melibatkan penguatkuasaan sempadan negara oleh pasukan keselamatan,
“Operasi ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan oleh pihak berkuasa untuk memastikan ketenteraman awam, mencegah ancaman keselamatan dan membendung aktiviti jenayah rentas sempadan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand,” jelas TDM lagi.
Dalam perkembangan lain, Jenazah LKpl Mohd Afandi Jahwin telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Jamerong pada jam 8.45 malam tadi.
Sementara itu, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan seluruh warga TDM, turut berduka cita di atas kehilangan seorang warganya dan menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Mohd Afandi.
“Panglima Tentera Darat juga berharap seluruh rakyat Malaysia terus mendoakan anggota yang masih hilang iaitu Lans Koperal Ahmad Zulhilmi, akan segera ditemui dalam keadaan selamat,” ujar TDM. -airtimes.my
#hilang #operasi #TDM #ATM #OperasiSAR #komando #GGK #airtimes