KUALA LUMPUR, 4 Dis – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menjalankan tinjauan kawasan berisiko banjir sebagai persediaan untuk menghadapi gelombang bencana seterusnya berikutan fenomena Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berterusan hingga Mac tahun depan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ATM bersama agensi lain akan mengumpulkan maklumat kawasan yang dijangkakan berlaku bencana berkenaan sekali lagi.
“Kita ambil pengalaman daripada gelombang pertama dan kedua, saya percaya pihak tentera sudah tahu kawasan-kawasan yang berpotensi tinggi untuk dinaiki air sekali lagi.
“Tinjauan kawasan berpotensi banjir adalah supaya apabila berlakunya banjir, tentera sudah tahu mana satu laluan bot, mana satu rumah yang tahap bahayanya lebih tinggi daripada rumah lain, kawasan yang ada atau tiada bukit, ada lurah, tentera sudah melakukan tinjauan,” katanya seperti dilapor Bernama.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Padang Gual Tinggi, Rantau Panjang, pada Selasa.
Mohamed Khaled turut menyatakan, beliau berpuas hati dengan penugasan ATM di bawah Op Murni bagi membantu pihak berkuasa tempatan dalam menyelamat dan memindahkan mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu, yang setakat ini melibatkan 71 pegawai dan 1,057 anggota sejak 27 November lepas.
“Jumlah aset dan anggota yang terbabit dalam Op Murni akan ditambah dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan.
“Sehingga kini, pihaknya sudah mengatur gerak aset-aset termasuk 90 buah trak serta lebih 40 bot tempur bagi kegunaan memberikan bantuan kepada mangsa banjir,” ujarnya lagi.-airtimes.my
#pertahanan #banjir #ATM #OpMurni #airtimes #Malaysia